Showing posts with label Kongsi ilmu. Show all posts
Showing posts with label Kongsi ilmu. Show all posts

Wednesday, April 10, 2013

MELAYU JOHOR



Telah terlalu banyak kita kehilangan,
Sawah ladang bertukar tangan,
Pekan dan bandar kita menumpang,
Teluk Belanga entah ke mana,
Yang tinggal hanyalah pakaian,
Sedarah sedaging hampir hilang,
Yang ada hanyalah setulang,
Selat Tebrau kian sempit,
Hati rindu jauh tergamit.

Di Johor,
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar itu Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Aceh dan Siak adalah Melayu,
Jakun dan Sakai lebih Melayu,
Arab dan Turki pekat Melayu,
Mamak dan Malbari jadi Melayu,
Malah mualaf bertakrif Melayu.

Melayu itu maknanya bijaksana,
Jika menipu pun bersopan,
Kurang ajarnya tetap santun,
Dajalnya cukup selamba,
Budi bahasa jangan dikira,
Beraninya cukup benar,
Tunduk bila bersalah,
Lembutnya cukup jantan,
Setia sampai ke kubur,
Biar mati adat jangan mati sahabat.

Anak Johor,
Luka di Tanjung Puteri,
Parutnya di Parit Raja,
Muka biar berseri,
Mulut biar berbahasa.

Berkelahilah cara Melayu,
Menikam dengan pantun,
Menyanggah dalam senyum,
Marahnya dalam tertawa,
Merendah bukan menyembah,
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan,
Jiwa Melayu mengangkat persahabatan,
Kasih sayang kekeluargaan,
Ringan tulang saling bertolongan,
Jujur memaafkan ikhlas memberikan.

Berdamailah cara Melayu,
Silaturahim yang murni,
Di mulut sama di hati,
Maaf sentiasa bersahut,
Tangan di hulur bersambut,
Luka pun tidak lagi berparut.

Melayu Johor saudaraku yang dikasihi,
Dalam kekeruhan ini carilah kejernihan,
Dalam sengketa ini sambutlah perdamaian,
Sifat terpuji setiap insan,
Bermuafakat supaya berkat,
Bersaudara dunia akhirat,
Berikhtiar dengan tabah,
Kepada ALLAH berserah.

MELAYU JOHOR
1988
Oleh : Allahyarham Datuk Usman Awang
Sasterawan Negara


Sudah terlalu lama rasanya saya tidak menulis apa-apa entri dalam blog saya ni. Ada juga saya drafkan beberapa entri yang masih belum dipostkan. Insyaallah, saya akan mula aktif menulis di dalam blog ini bila ada kelapangan nanti. Artikel yang saya catatkan di sini saya dapat ketika membaca status salah seorang pelajar saya. Marilah, wahai orang-orang Johor. Kita renungkan sejenak isi kandungannya... Terima kasih Farah Adilah...

Wednesday, February 29, 2012

UCAPAN TERIMA KASIH TANDA PENGHARGAAN









Mengucapkan terima kasih ialah suatu amalan yang mudah tetapi seringkali dilupakan. Amalan mengucapkan terima kasih ini kadangkala dilupakan terutamanya dalam kehidupan berkeluarga. Kita seringkali memandang remeh ucapan yang sebenarnya akan memberi makna dan kesan yang besar dalam kehidupan.
              
Ucapan terima kasih amat menyenangkan bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya. Tidak kiralah jika emosi orang yang mendengarnya berada dalam keadaan marah sekalipun. Pasti terubat sedikit amarahnya.

Kalimah yang amat besar impaknya ini perlu dititipkan dalam diri anak-anak agar kehidupannya tersulam dengan budi pekerti yang mulia. Cita-cita untuk melihat anak-anak membesar menjadi orang yang hebat akhlak dan pekertinya perlu bermula daripada keprihatinan ibu bapa dalam mendidik.

Anak-anak kita fitrahnya indah dan suci. Tidak terpalit walau sedikit pun titik hitam sehinggalah didikan dan persekitaran yang memandunya ke arah itu. Pembinaan tassawur (perceptual experience) hidupan yang bermula sedari usianya dua tahun harus diisi dengan contoh-contoh yang baik dan boleh diteladani.

Ucapan penghargaan ‘terima kasih’ perlu dilatih dan dimulakan di rumah. Jika selama ini kita mengabaikan amalan mudah ini, hari ini, mari kita sama-sama ubah. Jadikan ini sebagai amalan kehidupan seharian kita. InsyaAllah kehidupan kita akan lebih ceria dan bahagia.

Akhir sekali,  hargai Allah s.w.t kerana telah memberi kita nyawa, kecerdikan dan peluang untuk kita hidup bagi membolehkan kita buat yang terbaik hari ini, lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Jadikan pencapaian hari ini sesuatu yang terbaik buat diri kita! Jika kita melatih diri untuk menghargai orang lain, mereka akan menghargai kita juga.


Setinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada kaunselor di Unit Kaunseling di Kementerian Kerja Raya, Eizil.com. dan Bawang Goreng kerana telah sudi berkongsi maklumat tentang artikel  di dalam entri saya pada kali ini. Alhamdulillah...


Klik di sini untuk entri berkaitan...















Tuesday, February 28, 2012

ZIARAH PUSARA IBUBAPA PADA HARI JUMAAT


Pada pagi Jumaat tanggal 24 Februari 2012, aku serta suami dan anakku Fathiah telah pergi menziarahi pusara kedua ibubapaku di Tanah Perkuburan Bukit Cermai, Batu Pahat. Pusara mereka terletak berdekatan di antara satu sama lain. Entah mengapa, walaupun telah beberapa kali menziarahi pusara mereka, aku rasa teramat sayu dan sedih apabila berdiri di sisi pusara mereka pada kali ini. Airmataku sudah tidak dapat dibendung lagi sehinggalah adakalanya aku teresak-esak dan sebak rasa di hatiku... Doaku untuk kedua ibubapaku agar roh mereka sentiasa dicucuri rahmatNya, aman dan damai di Alam Barzakh, diluaskan dan diterangi tempat persemadian mereka, diampuni segala dosa dan semoga mereka berdua ditempatkan di dalam Jannah hendaknya, Amin...


Sebagai anak kepada kedua ibubapaku, aku akur pada perintahMu, ya Allah, untuk terus mentaati mereka berdua walaupun setelah mereka pergi menemuiMu.Taat kepada ibubapa adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah kerana mentaati ibu bapa bererti mentaati perintahNya.Allah berikan kedudukan tinggi kepada ibubapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada kedua ibubapa mereka. Ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: 


Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. (Surah Al-Israa ayat 23).


Yang dimaksudkan berbakti kepada kedua ibubapa ialah berbuat baik kepada mereka, mentaati, melaksanakan hak, menjauhi perkara yang menyakiti hati dan kehidupan mereka serta banyak lagi bakti yang patut dilaksanakan untuk mereka.Perintah mentaati ibubapa tidak hanya terbatas kepada golongan tertentu, malah Nabi juga tidak terlepas daripada melakukan ketaatan melalui pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ismail terhadap bapanya Nabi Ibrahim.


Firman Allah yang bermaksud: Wahai ayah, jalankan apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari kalangan orang-orang yang sabar, (Surah Ash-Shaffat ayat 102).


Ayat berkenaan menjelaskan bagaimana Nabi Ismail berbakti kepada bapanya Nabi Ibrahim dengan mentaati perintah Allah. Berbakti kepada ibu bapa juga membawa berkat. 


Sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah saw bersabda: Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada ibubapanya dan menyambung tali silaturahim.Pada dasarnya, berbakti kepada ibubapa tidak bermakna hanya setakat ibubapa masih hidup, malah ketika mereka telah tiada.


Abu Daud dan Ibnu Majah serta Ibnu Hibban di dalam sahihnya, daripada Abi Asid Malik bin Rabiah As-Saidy, berkata: Ketika kami sedang duduk di rumah Rasulullah, tiba-tiba datang seorang lelaki dari Bani Salamah lalu berkata : Ya Rasulullah apakah masih ada apa-apa cara yang boleh saya lakukan untuk berbakti kepada ibu bapa selepas mereka meninggal dunia?


Rasulullah bersabda : Ya, menyembahyangkan jenazah mereka, dan meminta ampunkan dosa mereka, dan menunaikan janji mereka setelah mereka meninggal serta membuat tali silaturahim yang tidak disambung kecuali dengan mereka dan menghormati kawan-kawan mereka.


Ziarah kubur ibu bapa dikira sebagai amalan bakti yang akan diberi ganjaran baik, sebagaimana yang dijelaskan Rasulullah dalam hadis diriwayatkan Thabarani dalam Al-Ausath bermaksud: Sesiapa yang menziarahi kuburan kedua ibu bapanya atau salah seorang di antara mereka setiap hari Jumaat, nescaya diampuni dosanya dan ditulis sebagai orang yang berbakti.


Beruntunglah bagi setiap anak yang prihatin dan ingat akan kedua-dua ibu bapa mereka sama ada sewaktu hidup mahupun setelah mereka (ibubapa) tiada.


Setinggi penghargaan dan terima kasih saya kepada MAHATERA kerana telah memberi keizinan untuk berkongsi artikel tentang tajuk ini...


Pusara Bonda Hjh Selmah binti Sidek yang telah kembali ke rahmatullah 12 tahun yang lalu...

Pusara Ayahanda Hj Abdul Samad bin Mahmood yang telah kembali ke rahmatullah 5 bulan yang lalu.

Thursday, February 16, 2012

BERBAKTI KEPADA IBUBAPA

Sebuah adaptasi dari Khutbah Jumaat.
SEBAGAI  INGATAN  KEPADA DIRI  SENDIRI 


Oleh kerana besarnya pengorbanan ibubapa terhadap kita, maka sewajarnyalah Allah mewajibkan kita mematuhi mereka. Ganjaran di atas layanan kita terhadap ibu bapa dibalas oleh Allah semasa di dunia lagi. Contohnya, jika kita mentaati mereka, anak-anak kita akan taat kepada kita. Sebaliknya jika kita menderhaka kepada mereka, anak-anak kita akan derhaka kepada kita pula. 


Allah memberi penghormatan kepada ibu bapa semasa mereka masih hidup sehinggalah mereka meninggal dunia. Anak-anak masih boleh menyumbangkan kebaktian sekalipun mereka telah lama terkubur. Hakikatnya, sebagaimana kita wajib berbakti kepada kedua ibu bapa semasa mereka masih hidup, begitu juga wajib bagi kita berbakti kepada keduanya sesudah mereka meninggal dunia. Ini dapat dilakukan dengan banyak beristighfar dan doa untuk mereka berdua, bersedekah, membayar semua hutang piutang serta melaksanakan semua wasiat, menghubungkan silaturrahim dengan teman-teman serta kaum kerabat dan orang-orang kesayangan mereka. Semua ini merupakan kebaktian yang dapat kita lakukan untuk ibu bapa yang telah meninggal dunia.  


Sabda Baginda s.a.w:   
" Berbaktilah kepada dua orang tua kamu (ibu bapa), nescaya anak-anak kamu akan berbakti kepada kamu. Dan peliharalah kehormatan isteri-isteri orang lain, nescaya isteri-isteri kamu akan memelihara kehormatan mereka”.

Sebenarnya kita tidak berdaya membalas jasa ibubapa kita. Hakikat ini perlulah kita insafi. Oleh sebab itu, untuk membalas jasa mereka, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat sama ada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia. Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik-baik mungkin. Fahamilah hakikat bahawa, setiap kita adalah anak dan setiap kita juga dalam masa yang sama sebagai seorang ayah dan ibu. Sebagaimana kita mahukan anak-anak kita berbakti kepada orang tuanya, begitulah halnya dengan kemahuan kedua orang tua kita. 


Bak kata pepatah Inggeris,  "What goes around, comes around" dan perumpamaan Melayunya pula, "Hidup ini umpama roda"...

Saturday, August 29, 2009

RAMADHAN ALMUBARAK

SEJARAH RAMADHAN

  1. Ramadhan: ertinya panas terik
  2. Bulan di turunkan Al Quran dan disebut (syahru ramadhana)
  3. Berlakunya Perang Badar Kubra dan mendapat kemenangan.
  4. Bulan di mana Nabi mengambil balik Mekah dari tangan Musyrikin dan berakhirnya penyembahan berhala.
  5. Di dalamnya dipilih ada malam Al-Qadar yakni lebih baik daripada 1000 bulan.
  6. Dipilih untuk ibadat puasa.
  7. Dipilih untuk ibadat lain seperti Tadarus Al Quran.


KELEBIHAN RAMADHAN

  1. Kamu akan dinaungi Ramadhan. (bagi yang telah meninggal dunia terlepas dari siksaan kubur.
  2. Bulan penuh keberkatan.
  3. Di malamnya adalah lebih baik drpd 1000 bulan.
  4. Amalan sunat sama dengan solat fardhu.
  5. Manakala solat fardhu mendpt 70 kali ganda.
  6. Bulan sabar dan pahalanya adalah syurga.
  7. Bulan menambah rezeki
  8. Memberi makanan untuk berbuka puasa banyak pahalanya.
  9. Bulan keampunan - doa yang paling makbul iaitu doa sebelum berbuka puasa dan juga pada sepertiga malam.
  10. 10 hari pertama mulanya rahmat 10 hari kedua pengampunan dan 10 hari terakhir bebas dari api neraka.


AMALAN-AMALAN DI BULAN RAMADHAN

  1. Mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan.
  2. Menempah pakaian untuk Ramadhan.
  3. Niat puasa sebulan pada permulaan Ramadhan
  4. Hendak tidur bacalah 4 ayat terakhir Surah Al Kahfi supaya dapat bangun malam.
  5. Berazam melakukan Terawih 20 rakaat (bukan 8 rakaat).
  6. Bertadarus secara bersemak (bukan sendirian).
  7. Solat berjemaah setiap waktu.
  8. Solat jemaah di masjid/surau.
  9. Amalkan Qiyamulail walaupun pendek.
  10. Sahur di waktu akhir
  11. Sahur - untuk mengelakkan makanan tidak hadam, elakkan makanan pedas dan tutup sahur dengan air susu.
  12. Mandi Janabat sebelum Imsak.
  13. Kurangkan tidur
  14. Tunaikan Solat sunat fajar (Solat Sunat Subuh)
  15. Tunaikan Solat Dhuha
  16. Tidur waktu cuti (satu jam sebelum Zohor)
  17. Tunaikan solat Rawatib
  18. Jaga pancaindera.
  19. Elakkan gosok gigi pada waktu petang
  20. Hadiri majlis ilmu.
  21. Buat baik pada ibubapa
  22. Isteri hendaklah taat pada suami.
  23. Banyakkan bersedekah.
  24. Berbuka dengan 3 biji kurma dan air yg belum dipanaskan oleh api.
  25. Berbuka bersama orang tua.
  26. Jemput tetamu berbuka.
  27. Kurangkan berat badan
  28. Banyakkan ik'tikaf di masjid (lelaki sahaja).
  29. Baiki hubungan suami isteri.
  30. Baiki hubungan jiran.
  31. Isteri jauhi daripada keluar rumah dengan memakai mekap dan perhiasan.
  32. Elakkan berbelanja berlebihan
  33. Kuatkan kesabaran
  34. Banyakkan selawat, istighfar dan ,bertasbih.
  35. Berazam beramal (pada malam Lailatul Qadar).
  36. Mengejut anak dan isteri di malam Lailatul Qadar.
  37. Elakkan menonton TV yang membangkitkan nafsu.
  38. Elakkan mendengar radio berunsur hiburan.
  39. Berdoa dengan nada lembut dan merayu.
  40. Jauhkan bercumbu dengan suami/isteri.
  41. Mendoakan ibu bapa sama ada hidup atau yang telah meninggal dunia.
  42. Melazimkan solat awal waktu.
  43. Elakkan bersiar2 yang menjadikan pandangan liar sebelum berbuka.
  44. Elakkan banyak berhutang.
  45. Mempunyai perasaan sedih melepaskan Ramadhan ditakuti tidak bertemu lagi Ramadhan yang akan datang.
  46. Tunaikan zakat fitrah.