Friday, September 11, 2009

REZEKI RAMADHAN

Macam mana kalau saya tukar profesyen sempena bulan Ramadhan dan menjelang Syawal ini?Memandangkan saya sedang bercuti panjang ni, ok juga rasanya kalau nak menambah pendapatan. Beg dah ada tu. Untung juga kalau berniaga kuih dan biskut raya. Oleh sebab dah dekat nak Raya ni, tinggal 8 hari saja lagi, iklankan saja dalam blog. Kakitangan awam dah dapat gaji kan? Jadi, siapa yang nak beli, datang aje lah ke rumah. Siapa dulu, dia yang dapat. "First come , first serve!"

Salam semua. Selamat menjalani ibadah puasa dan ibadah-ibadah yang lain sempena bulan Ramadhan yang mulia ini. Di samping itu, pastinya ibubapa dan ahli keluarga sedang rancak membuat persiapan untuk Raya seperti mengemas dan menghias rumah serta penyediaan kuih dan biskut raya. Bagi yang berkerjaya, kuih raya jenis tunjuk-tunjuk. Kena semak balik senarai pesanan kuih yang telah di buat sebelum puasa dulu. Betul tak apa yang diorder, itu yang kita dapat? Budget ok tak? Ada yang dah lari budgetnya? Bonus dapat RM250 aje untuk Raya! Selebihnya akan dapat dalam bulan Disember. Itupun untuk kumpulan sokongan aje. Yang lain minta maaf banyak-banyak. Tak ada rezeki...

Ooh... Idaklah teman berminat nak meniaga kuih dan biskut Raya pulak! Biaq la untung besaq mana pun, bagi orang lain la rezeki tu. Cukup lah dengan gaji cikgu aje. Cikgu kecik, gaji pun kecik lah. Tak pe dah rezeki...

Yang sebenonye goodie bag dan kuih serta biskut raya semua tu hasil usaha titik peluh Cik Nama ( sama nama ). Memang setiap tahun Lila akan membuat, mengedar dan menjual kuih dan biskut Raya tu. Golongan artis pun ada yang menjual kuih raya Lila, tapi sampai Kuala Lumpur dah ditampal dengan nama syarikat lain pula. Harga pun dah lain...

Kalau di Batu Pahat ni, Lila berniaga kuih rayanya di Batu Pahat Mall. Lokasinya di tingkat basement parking lot, berhampiran dengan escalator. Gerai untuk bulan Ramadhan saja. Kalau nampak gerai Lila Delight Cookies yang bosnya berbadan gempal, berkulit cerah dan bercermin mata , betul lah tu.

Semoga hasil titik peluh Lila akan dapat menambah rezeki keluarganya. Kalau bukan bulan puasa, Lila berniaga di Restoran Syam. Dia menyediakan sarapan pagi dan makan tengahari. Waktu malam, ibu dan adiknya pula yang mengambil alih. Dalam bulan Ramadhan ni, Restoran Syam ditutup. Memang Lila ni berbakat dan berkelulusan dalam bidang memasak ni.

Saya pula hanyalah seorang guru kecil. Nama kami berdua saja yang serupa namun kami berbeza...

Saturday, September 5, 2009

RAHMAT RAMADHAN


Hari ini sudah 15 Ramadhan 1430 Hijrah. Bermakna kita telah berpuasa selama 15 hari dan tinggal 15 hari saja lagi sebelum 1 Syawal. Alhamdulillah, aku telah dapat melaksanakan ibadat puasa ini dengan jayanya setakat ini tanpa apa-apa komplikasi. Walaupun aku terpaksa mengubah jadual pengambilan ubat-ubatan untuk disesuaikan dengan waktu bersahur dan berbuka, namun tubuhku dapat menerima perubahan tersebut dengan baik.

Suami, anak2, adik2 serta rakan2ku mengatakan yang aku kelihatan lebih kurus daripada biasa. Anakku, Nadiah pun memberi komen yang sama apabila kami berkomunikasi melalui skype. Itu juga komen dari pakar kardiologi yang merawatku pada temujanji kami yang lalu. Katanya lagi, itu merupakan satu perkara positif dan menyarankanku agar meneruskan gaya pemakananku serta latihan fizikal yang aku lakukan pada hampir setiap petang. Memang menjadi rutin bagiku untuk memantau berat badan, tekanan darah dan denyutan nadi pada setiap hari. Malah, selain daripada alat timbang berat, suamiku juga menyediakan alat untuk mengambil tekanan darah dan steteskop juga untukku!

Umpama seorang doktor, suamiku akan menanyakan hasil pemantauanku ini pada setiap hari. Sehingga ke hari ini pun, dia masih mengucap syukur kehadrat Illahi kerana keadaan kesihatanku yang mengizinkan aku menjalankan tanggungjawabku sepanjang bulan Ramadhan ini. Tugas rutin seperti menyediakan juadah bersahur, membangunkan ahli2 keluarga dan menyiapkan Ghazi untuk ke sekolah dapat aku laksanakan. Manakala, pembantu rumahku pula akan menguruskan kerja-kerja rumah yang lain seperti mencuci, mengemas dan membersih serta menggosok pakaian. Sesekali aku juga akan menunaikan permintaan suami dan anak2 untuk memasak juadah berbuka puasa. Selalunya, suamiku akan ke Bazar Ramadhan untuk membeli juadah-juadah tersebut. Kadangkala kami juga akan berbuka di luar.


Alhamdulillah, aku juga dapat menunaikan solat tarawikh di rumah. Itupun aku bersolat dalam keadaan duduk dan akan berehat sebentar bila penat. Walaupun demikian, suami dan anak2ku tetap menunaikannya di masjid. Mereka akan bersembahyang tarawikh di masjid yang berbeza pada setiap malam. Aku bersyukur kehadrat Illahi kerana anak lelaki kami, Ghazi juga turut sama menunaikannya tanpa apa-apa rungutan pun. Malah, dialah yang sering mengingatkan ayahnya tentang solat tersebut setiap kali selesai solat maghrib! Puasanya pun penuh setakat ini, walaupun kadangkala mengadu dahaga setiap kali pulang dari sekolah. Bermacam alasan aku berikan untuk menahannya daripada minum sebelum tiba waktu berbuka. Ghazi... Ghazi... Kakak2nya dulu tak ada masaalah pun berpuasa ketika di alam sekolah rendah.


Budak lelaki memang macam ni ke? Itulah soalan yang selalu aku tanyakan kepada suamiku setiap kali Ghazi melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh kakak2nya yang seramai 4 orang tu. Setelah menimbangkan segala kemungkinan yang disuarakan oleh suamiku, akhirnya aku akan membuat ulasan,"LIKE FATHER, LIKE SON" ( Bapa borek, anak rintik )...

Saturday, August 29, 2009

RAMADHAN ALMUBARAK

SEJARAH RAMADHAN

  1. Ramadhan: ertinya panas terik
  2. Bulan di turunkan Al Quran dan disebut (syahru ramadhana)
  3. Berlakunya Perang Badar Kubra dan mendapat kemenangan.
  4. Bulan di mana Nabi mengambil balik Mekah dari tangan Musyrikin dan berakhirnya penyembahan berhala.
  5. Di dalamnya dipilih ada malam Al-Qadar yakni lebih baik daripada 1000 bulan.
  6. Dipilih untuk ibadat puasa.
  7. Dipilih untuk ibadat lain seperti Tadarus Al Quran.


KELEBIHAN RAMADHAN

  1. Kamu akan dinaungi Ramadhan. (bagi yang telah meninggal dunia terlepas dari siksaan kubur.
  2. Bulan penuh keberkatan.
  3. Di malamnya adalah lebih baik drpd 1000 bulan.
  4. Amalan sunat sama dengan solat fardhu.
  5. Manakala solat fardhu mendpt 70 kali ganda.
  6. Bulan sabar dan pahalanya adalah syurga.
  7. Bulan menambah rezeki
  8. Memberi makanan untuk berbuka puasa banyak pahalanya.
  9. Bulan keampunan - doa yang paling makbul iaitu doa sebelum berbuka puasa dan juga pada sepertiga malam.
  10. 10 hari pertama mulanya rahmat 10 hari kedua pengampunan dan 10 hari terakhir bebas dari api neraka.


AMALAN-AMALAN DI BULAN RAMADHAN

  1. Mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan.
  2. Menempah pakaian untuk Ramadhan.
  3. Niat puasa sebulan pada permulaan Ramadhan
  4. Hendak tidur bacalah 4 ayat terakhir Surah Al Kahfi supaya dapat bangun malam.
  5. Berazam melakukan Terawih 20 rakaat (bukan 8 rakaat).
  6. Bertadarus secara bersemak (bukan sendirian).
  7. Solat berjemaah setiap waktu.
  8. Solat jemaah di masjid/surau.
  9. Amalkan Qiyamulail walaupun pendek.
  10. Sahur di waktu akhir
  11. Sahur - untuk mengelakkan makanan tidak hadam, elakkan makanan pedas dan tutup sahur dengan air susu.
  12. Mandi Janabat sebelum Imsak.
  13. Kurangkan tidur
  14. Tunaikan Solat sunat fajar (Solat Sunat Subuh)
  15. Tunaikan Solat Dhuha
  16. Tidur waktu cuti (satu jam sebelum Zohor)
  17. Tunaikan solat Rawatib
  18. Jaga pancaindera.
  19. Elakkan gosok gigi pada waktu petang
  20. Hadiri majlis ilmu.
  21. Buat baik pada ibubapa
  22. Isteri hendaklah taat pada suami.
  23. Banyakkan bersedekah.
  24. Berbuka dengan 3 biji kurma dan air yg belum dipanaskan oleh api.
  25. Berbuka bersama orang tua.
  26. Jemput tetamu berbuka.
  27. Kurangkan berat badan
  28. Banyakkan ik'tikaf di masjid (lelaki sahaja).
  29. Baiki hubungan suami isteri.
  30. Baiki hubungan jiran.
  31. Isteri jauhi daripada keluar rumah dengan memakai mekap dan perhiasan.
  32. Elakkan berbelanja berlebihan
  33. Kuatkan kesabaran
  34. Banyakkan selawat, istighfar dan ,bertasbih.
  35. Berazam beramal (pada malam Lailatul Qadar).
  36. Mengejut anak dan isteri di malam Lailatul Qadar.
  37. Elakkan menonton TV yang membangkitkan nafsu.
  38. Elakkan mendengar radio berunsur hiburan.
  39. Berdoa dengan nada lembut dan merayu.
  40. Jauhkan bercumbu dengan suami/isteri.
  41. Mendoakan ibu bapa sama ada hidup atau yang telah meninggal dunia.
  42. Melazimkan solat awal waktu.
  43. Elakkan bersiar2 yang menjadikan pandangan liar sebelum berbuka.
  44. Elakkan banyak berhutang.
  45. Mempunyai perasaan sedih melepaskan Ramadhan ditakuti tidak bertemu lagi Ramadhan yang akan datang.
  46. Tunaikan zakat fitrah.

Thursday, August 27, 2009

Resipi Laksa Johor Khas Buat Nornilia

LAKSA JOHOR

Bahan (A) dikisar

9 ulas bawang merah

5 ulas bawang putih

5cm halia

3cm kunyit

5cm lengkuas

3 batang serai

100g udang kering – direndam dan dikisar

Bahan-bahan Lain

1kg ikan kembung – direbus, ambil isi dan kisar

5 sudu makan rempah kari ikan

1 liter santan pekat

3 sudu makan kerisik

100ml air (anggaran)

1 kuntum bunga kantan – dihiris

Beberapa keping asam gelugur

Garam dan gula secukup rasa

Bahan Sampingan

1 peket spaghetti – direbus lembut

Tauge – dibuang ekor

1 batang timun – dibuang kulit dan dihiris.

2 biji bawang besar dihiris (jika perlu)

Daun kesum dan daun selasih dihiris

Limau kasturi dibelah dua

Chaipo (lobak masin halus)

Sambal belacan - Cili merah

Belacan dibakar

Garam

Cara Membuat

1. Panaskan minyak dan tumis bahan (A) hingga berbau.

2. Masukkan pes rempah dan kacau hingga keluar minyak.

3. Tuangkan santan dan kacau sekali sekala hingga mendidih.

4. Masukkan isi ikan, kerisik, air dan asam keping. Kacau hingga mendidih.

B Bubuh hirisan bunga kantan, gula dan garam. Bila naik minyak, tutupkan api.

5. Letakkan spagheti ke dalam mangkuk. Taburkan tauge, bawang besar (jika perlu), timun, daun kesum, daun selasih dan chaipo. Bubuh sambal belacan dan tuangkan kuah panas-panas.

Friday, August 21, 2009

LAMBAIAN KAABAH ( 1 )

Kisah pengalamanku ke tanah suci untuk menunaikan umrah ini adalah sebahagian daripada koleksi memoriku. Namun demikian, aku juga berharap agar kita dapat berkongsi pengalaman ini bersama-sama...

Pada tahun 1999, suamiku merancang untuk membawa ku menunaikan umrah. Memandangkan dia telah pernah menunaikan umrah sebelumnya bersama rakan-rakannya, aku hendak dibawanya bersama pada kali ini. Alangkah riangnya hatiku apabila berita gembira itu disampaikan kepadaku.

Namun demikian, dalam bulan November sekali lagi aku dikejutkan dengan berita yang tidak disangka-sangka. Aku disahkan hamil 3 bulan, setelah 6 tahun aku berihat. Anakku yang bongsu pada ketika itu sedang belajar di TASKI. Bila difikirkan hamil pada usia 38 tahun dan mempunyai masalah jantung, aku rasa agak runsing. Namun, ku gagahi juga dan berazam untuk menerima anugerah kurniaan ALLAH ini dengan hati terbuka.

Ayahandaku (Atok Ayah) dan Bondaku (Atok Mak)

Puteri-puteri kesayangan kami

Masuk bulan Disember, persiapan untuk menunaikan umrah telah siap semuanya. Mak Teh, ibu saudara suamiku akan ikut serta dalam rombongan umrah ini. Kami bertolak dari rumah ibubapa ku setelah meninggalkan keempat-empat puteri kesayangan kami bersama Tok Ayah dan Tok Mak mereka. Sebak juga rasa hatiku kerana inilah kali pertama aku akan berpisah dengan anak2 ku selama 2 minggu, terutama anak bongsuku. Dia memelukku sambil meraung-raung menangis seolah-olah enggan melepaskan aku pergi. Sebenarnya ayahku juga akan berangkat untuk menunaikan umrah bersama-sama adikku, Noli dan suaminya selang sehari selepas aku dan suami berangkat. Insyaallah, jika diizinkan ALLAH, kami akan bertemu di Madinah AlMunawarah atau di Mekah AlMukarramah.

Penerbangan dari KLIA ke Jeddah mengambil masa 8 jam. Mujurlah, walaupun aku sedang berbadan dua ketika itu, aku tidak mengalami apa-apa alahan. Sampai di Jeddah, proses imigresen berjalan lancar. Kami pun menaiki bas menuju Madinah dan tiba pada waktu subuh. Alangkah seronoknya dapat bersembahyang berjemaah bersama-sama muslimin dan muslimah dari seluruh pelusuk dunia di dalam masjid Nabi iaitu Masjid Nabawi.

Bersama Mak Teh di Masjid Nabawi

Bersama suami di Jabal Rahmah

Sepanjang berada di Madinah, aku berpeluang menunaikan semua solat 5 waktu berjemaah di Masjid Nabawi di samping berpeluang menziarahi Makam Nabi dan Raudhah beberapa kali. Membaca AlQuran, melakukan solat sunat dan berdoa di sana. Aku juga tidak lupa untuk meminum air zam zam setiap kali sebelum dan selepas menunaikan solat. ALLAH menjanjikan 1000 kali ganda pahala bersembahyang di Masjid Nabawi jika dibandingkan dengan masjid2 lain kecuali Masjidil Haram.

Seleraku juga bertambah ketika menghadap setiap hidangan yang disediakan. Begitu juga apabila melalui deretan kedai-kedai makan yang banyak menjual kebab, nasi arab, dan bermacam lagi masakan Arab. Sesekali kami beli dan mencuba makanan tersebut. Sungguh lazat sekali... Begitu juga dengan jus buah-buahan segar dan ais-krimnya yang enak tu... Buah-buahannya juga segar dan manis-manis belaka, seperti buah mangga, aprikot dan pic.

Selama lebih kurang 2 hari berada di Madinah, kami juga telah dibawa menziarahi Tanah Perkuburan Baqi' tempat di mana kebanyakan daripada isteri-isteri dan putera-puteri Nabi telah disemadikan. Kami juga dibawa menziarahi Bukit Uhud di mana berlakunya Peperangan Uhud dan di sinilah para syuhada' spt. Sayidina Hamzah bin Abdul Mutalib dan rakan-rakannya yang terkorban telah disemadikan.

Selain daripada itu, kami juga menziarahi Masjid Quba, masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah dan Masjid Qiblataini, di mana wahyu diturunkan kepada Rasulullah untuk menukarkan arah kiblat dari Baitul Maqdis di Palestin kepada Kaabah di Mekah. Kami juga dibawa ke Pasar Kurma untuk membeli kurma, kekacang dan manisan sebagai buah tangan untuk keluarga, sanak saudara serta sahabat handai di tanahair.

Tiba hari dan waktu yang dijanjikan, rombongan kami bersiap sedia untuk berangkat ke Mekah. Selepas solat subuh dan bersarapan, suamiku menemaniku untuk ke Masjid Nabawi bagi melakukan Ziarah Wada', iaitu ziarah Selamat Tinggal. Ini merupakan ziarah ke Makam Nabi buat kali terakhir sebelum meninggalkan kota Madinah.

Selepas itu, kami perlu mandi sunat ihram dan memakai pakaian ihram. Untuk lelaki, ianya merupakan 2 helai kain putih tidak berjahit yang dililit sebagai sarong dan sehelai lagi meliputi badan. Bagi kaum perempuan, memadai dengan pakaian untuk bersembahyang, iaitu telekong. Setelah siap, segala beg dan barang2 kami pun dipunggahkan ke dalam bas. Dengan rasa sebak, kami meninggalkan bandar Madinah AlMunawarah. Masih teringat dalam ingatanku, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud sesiapa yang menziarahi Makam Nabi setelah beliau wafat, samalah seperti kita menziarahi beliau semasa hayatnya. Menitis juga airmata apabila mengenangkan sama ada kami akan berpeluang untuk ke sini lagi atau tidak. Insyaallah, kami akan datang lagi untuk menjadi tetamuNya...

Dalam perjalanan ke Mekah, bas tersebut berhenti di sebuah masjid di Bir Ali untuk Miqat, iaitu, solat sunat Tahiyatul masjid, solat sunat ihram dan niat ihram umrah. Pada ketika inilah ada beberapa perkara yang dilarang dan perlu kita hindarkan seperti memakai wangi-wangian dan memotong rambut dan kuku. Jika kita engkar, kita akan dikenakan dam atau denda.

"Laib baikallah hummalab baik,
Laib baik kala syari kala kalabbaik,
Innal hamna wanikmata,
Lakawal mul,
Lasyari kala......"

Itulah bacaan Talbiah yang dibaca sehinggalah sampai ke Mekah. Bas yang membawa kami pun sampai ke hotel penginapan. Pada ketika itu, sudah masuk waktu Isyak. Kami pun dinasihatkan untuk makan malam dulu sebelum bersiap-siap dan berkumpul di lobi untuk ke Masjidil Haram. Kami berjalan kaki ke Masjidil Haram bersama-sama dalam kumpulan kami dengan dibimbing oleh seorang mutawif.

Dengan debaran dan penuh tanda tanya, aku hanya mengikut arahan suamiku untuk meletakkan kasut kami ke dalam beg plastik dan ditinggalkan di rak kasut di luar Babur Salam, pintu utama di tempat Saie. Melihatkan orang ramai yang sedang berjalan di kedua-dua lorong mengikut arus masing-masing dengan pakaian ihram mereka, rupa2nya itulah laluan antara Safa dan Marwah. Mereka melakukan saie, iaitu berjalan antara Safa dan Marwah sebanyak 7 kali ulang alik sebelum bertahallul ( bergunting ).

Mataku tiba2 terpukau pada sesuatu yang tersergam indah dan tampak keteguhannya berdiri di tengah2 ribuan manusia yang sedang mengelilinginya. Aku dan suamiku pun membaca doa yang disunatkan, apabila melihat Kaabah. Kami pun bersembahyang Isyak di atas Dataran dengan berkiblatkan Kaabah yang sebenar-benarnya, bukan gambar, bukan lukisan ataupun replika. Setelah selesai bersolat, kami pun berdoa. Ya ALLAH! Bercucuran air mataku mengalir tanpa kusedari. Seribu satu rasa keinsafan, rasa kerdilnya diri ini dan bersyukur yang amat sangat kerana diberi kesempatan untuk menjadi tetamu ALLAH di sini.

Seperti yang dijanjikan, rombongan kami pun berkumpul untuk melakukan tawaf. Kami wajib melakukan tawaf dalam keadaan berwuduk. Aku pun memaut tangan suamiku dengan berlapikkan kain telekung dan berjalan bersama-sama untuk melakukan tawaf, iaitu mengelilingi Kaabah mengikut arah anti-putaran jam sebanyak 7 kali. Sambil tawaf, kami membacakan doa/zikir yang disunatkan.

Selesai melakukan tawaf, aku dan suami pun melakukan solat sunat dua rakaat dan seterusnya kami momohon doa ke hadrat Illahi agar ibadat umrah kami diterima Allah Subhanawataala. Dalam perjalanan ke tempat saie di bukit Safa, kami sempat meneguk air zam zam yang disediakan. Suamiku menyarankan agar aku berihat sebentar sebelum melakukan saie memandangkan aku sedang berbadan dua pada ketika itu, namun aku tidak bersetuju. Kami pun terus menuju ke tempat saie untuk menyelesaikan ibadat umrah kami.

Semasa melakukan saie ini, kita tidak diwajibkan berwuduk, hukumnya sunat sahaja. Setelah memasang niat, kami memulakan perjalanan saie dengan melalui laluan sebelah kanan sambil membaca zikir dan doa yang disunatkan. Sampai saja di kawasan yang mempunyai lampu-lampu yang berwarna hijau, aku memberi isyarat kepada suami untuk berlari-lari anak. Ini dilakukan oleh muslimin, tapi bukan untuk muslimah. Aku hanya mempercepatkan langkahku agar dapat seiring dengannya.

Setelah selesai berulang-alik tujuh kali antara Safa dan Marwah, kami pun membaca doa sebelum melakukan tahallul. Suamiku meminta pertolongan seorang jemaah lelaki yang telah siap digunting rambutnya untuk mengguntingkan beberapa helai rambutnya. Barulah rambutku pula digunting beberapa helai oleh suamiku. Alhamdulillah... Selesailah sudah umrah ku yang pertama. Kami pun pulang semula ke hotel penginapan untuk berihat dan melelapkan mata.

Pagi esoknya, sebelum azan subuh yang pertama lagi, aku sudah tersedar dari tidurku. Aku pun mandi dan bersiap-siap untuk ke masjid. Oleh kerana aku berkongsi bilik dengan Mak Teh dan Mak Senah, seorang mantan jururawat, terpaksalah aku menunggu kedatangan suamiku ke bilik kami untuk bersama-sama ke Masjidil Haram. Di sini juga aku tidak lupa untuk meminum air zam zam dengan didahului dengan doa sebelum dan selepas selesai setiap solat lima waktu. Sambil menunggu suamiku melakukan tawaf sunat, aku pun membaca AlQuran.

Sebelum itu, kami telah berjanji untuk bersama-sama berdoa di tempat-tempat yang mustajab doa. Contohnya, di Hijr Ismail, di Multazam dan di bawah Saluran ( Pili ) Emas. Setelah suamiku selesai melakukan tawaf sunat, kami pun sama-sama melakukan solat sunat dhuha. Selepas itu, kami pun berjalan menuju Kaabah untuk melakukan solat sunat dan berdoa di Hijr Ismail. Oleh kerana terpandangkan jemaah wanita sedang beratur di sudut Hajar Aswad, aku pun meminta izin dari suamiku untuk bersama-sama dalam barisan itu. Teringin pula aku untuk mengucup Hajar Aswad jika diizinkan ALLAH Subhanawataala.

Namun, ketika hanya tinggal dua orang sahaja lagi di hadapan ku, satu kejadian yang telah melemahkan semangatku telah berlaku. Tiba2 sahaja berlaku tolak-menolak berserta jerit pekik daripada jemaah-jemaah di hadapan ku sehingga terburai tudung kepalanya sampai menampakkan kesemua rambutnya. Sambil meletakkan kedua2 tanganku di atas perutku bertujuan untuk melindungi kandunganku, aku keluar dari barisan itu lalu mendapatkan suamiku yang sedang menunggu di anak tangga menghala ke dataran. Tidak mengapalah, mungkin belum rezekiku lagi. Yang maha penting bagiku adalah amanah Allah yang sedang aku kandungkan ini. Subhanallah...

Hari-hari seterusnya, selepas solat subuh, aku dan suami melakukan umrah sunat beberapa kali. Setiap kali umrah, kami Miqat atau berniat ihram umrah di tempat yang berbeza, iaitu di Hudaibiyah yang lebih kurang 29 km dari Masjidil Haram dan esoknya pula di Ja'ranah yang jauhnya pula lebih kurang 22 km pula. Selain daripada itu, kami juga telah beberapa kali bermiqat di Tan'im yang lebih hampir, iaitu lebih kurang 5 km sahaja dari Masjidil Haram. Alhamdulillah, di Mekah pun aku juga dapat bersembahyang berjemaah bagi semua solat 5 waktu di Masidil Haram. ALLAH menjanjikan 100,000 pahala dibandingkan sembahyang berjemaah di masjid lain. Begitu juga dengan ibadah lain yang dilakukan di masjid ini.

Semasa berada di Mekah, rombongan kami dibawa ziarah ke Arafah, tempat untuk melaksanakan wukuf, iaitu salah satu rukun haji. Di sanalah terdapatnya Jabal Rahmah, sebuah bukit tempat Nabi Adam a.s. bertemu dengan isterinya Hawa setelah lama berpisah lantaran memakan buah larangan di syurga dahulu. Seterusnya, kami berziarah ke Mina yang mana dapat dilihat banyak khemah-khemah berwarna putih di sini. Para jemaah haji Mabit ( bermalam ) di khemah tersebut dan membuat lontaran di 3 Jamarat pada hari-hari Tasyriq ( semasa Hari Raya Haji ). Seterusnya kami dibawa menziarahi Jabal Nur ( Gua Hira' ) tempat Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu yang pertama. Dari jauh kelihatan deretan manusia mendaki Jabal Nur untuk ke Gua Hira'. Salah satu tempat yang kami berpeluang berziarah ialah Jabal Thur. Di sinilah terdapat sebuah gua di mana Rasulullah s.a.w. bersembunyi bersama sahabatnya Abu Bakar al-Siddiq dalam perjalanan mereka untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah. Tidak ketinggalan juga, kami ditunjukkan tapak rumah tempat kelahiran Nabi s.aw., iaitu di Syuib Ali. Di atas tapak ini telah dibina sebuah perpustakaan sekarang.

Alhamdulillah. Sekali lagi aku mengucap syukur kehadrat Illahi. Kali ini apabila kami diberitahu oleh ketua rombongan kami yang kami semua akan mula berpuasa pada hari esoknya. Jadi, setelah selesai solat isyak, aku pun turut sama bersolat tarawikh berjemaah di Masjidil Haram. Walaupun agak letih juga untuk habiskan 20 rakaat solat tarawikh yang disertakan bacaan AlQuran dari Juzuk 1 untuk malam pertama, aku gagahi juga diri ku untuk menyempurnakannya, diikuti oleh solat witir 3 rakaat.

Pada keesokan harinya, kami pun bangun lebih awal untuk bersahur dan kemudiannya bersiap-siap untuk bersolat subuh di masjid. Aku dan suamiku bercadang untuk melakukan umrah sunat pada hari itu. Walaupun dalam keadaan berpuasa, aku gagahi juga diri ini dengan dorongan suami untuk bersama-sama melakukan umrah memandangkan pahalanya yang sama seperti pahala melakukan ibadat haji. Dan lagi, esoknya pula rombongan kami akan bertolak pulang ke tanahair. Setelah selesai miqat di Tan'im, kami pun melakukan tawaf, kemudian saie dan selepas itu, bertahallul. Maka, selesailah ibadat umrah kami untuk kali ini.

Kami bercadang untuk berbuka di masjid dan pulang ke hotel penginapan selepas maghrib. Selepas itu, barulah kami ke masjid semula untuk bersolat Isyak diikuti solat Tarawikh dan Witir. Ketika berbuka puasa di masjid, dapat ku lihat betapa orang2 Arab yang agak berada ini membawa bekalan makanan dan minuman untuk dijamah bersama-sama jemaah lain. Bak kata pepatah, 'Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah'. Sungguh pemurah mereka. Ramai jemaah yang bersedekahkan kurma dan minuman kepada kami semua. Setelah dikumpulkan kurma2 tersebut, agak banyak juga yang aku dapat. Rezeki jangan ditolak...

Esoknya setelah selesai solat subuh, kami pun melakukan Tawaf Wada' ( Tawaf Selamat Tinggal ). Tersentuh hati ku apabila membaca doa selepas selesai tawaf ini. Selepas itu, kami pun mendirikan Solat Sunat Tawaf dua rakaat. Semasa membacakan doa selepas solat ini, air mata ku mula mengalir hingga akhirnya aku menangis terisak-isak. Sungguh sayu dan sedih rasanya kerana terpaksa meninggalkan Kaabah untuk kembali kepada rutin dan tanggungjawab kami terhadap keluarga di tanahair. "Ya ALLAH. Janganlah dijadikan tawaf dan ziarahku ini sebagai kali yang penghabisan di Baitullah. Kami ingin menjadi tetamuMu lagi ke sini, ya ALLAH". Itulah doa dan harapan kami.

Dengan langkah yang longlai, kami pun pulang semula ke hotel penginapan untuk menguruskan beg dan barangan kami untuk dipunggah ke dalam bas yang telah sedia menunggu. Apabila selesai segala urusan, kami pun bertolak ke Jeddah. Di Jeddah, kami diberi peluang untuk ke kompleks membeli-belah selama 1 jam. Apa yang dapat kulihat di sini ialah kaum perempuannya yang berpakaian lebih moden dan berwarna-warni serta dilitupi dengan jubah hitam pada tubuh mereka berserta tudung kepala tanpa mengira bangsa dan agama.

Tiba waktu yang dijanjikan, kami pun berkumpul dan menaiki bas untuk ke Masjid Terapung bagi menunaikan Solat Jamak Zohor dan Asar sebelum ke lapangan terbang. Selesai urusan bagasi dan imigresen, kami pun bertolak pulang ke tanahair. Perjalanan selama 8 jam terasa singkat kerana aku sudah mula terbayangkan wajah anak-anak kesayanganku yang kurindui.

Sampai sahaja di KLIA, adik iparku telah sedia menunggu. Perjalanan 4 jam dari Sepang ke Batu Pahat, Johor pula terasa agak lama. Malah, apabila sampai sahaja ke rumah kami, puteri-puteri kesayanganku terus memelukku dan suamiku dengan rasa riang untuk melepaskan rindu mereka selama ini. Seolah-olah memaklumkan kepada kami agar jangan meninggalkan mereka lagi...

Hari berganti hari, minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan. Aku dan suami terus diuji ALLAH subhanawataala. Ketika kandunganku masuk lapan bulan, ibuku yang tersayang telah pulang ke rahmatullah setelah 10 hari koma. Aku berpeluang untuk memasak dan menyuapkannya hidangan yang terakhir sebelum Allahyarhamah koma. Setiap hari aku dan suami pasti menziarahinya di wad ICU di HBP sehinggalah Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir. Sepanjang malam itu, aku dan kaum keluargaku bergilir-gilir membacakan Surah Yasin sehinggalah jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Cermai.

Sebulan selepas itu, kandunganku pun cukup 9 bulan 10 hari. Aku pun mengemaskan peralatanku dan pakaian bayi untuk dibawa ke HBP ketika aku ke sana untuk pemeriksaan kesihatan yang terakhir. Tarikh 23 Mei 2000 adalah tarikh aku dijangka melahirkan bayiku ini. Suamiku menunggu sehinggalah waktu melawat hampir tamat. Walaupun aku dah mula terasa sakit, bayiku masih belum mahu keluar. Sebelum pulang ke rumah untuk membersihkan diri, suamiku sempat meletakkan tangannya di atas perutku dan berkata, "Baby, dengar cakap Ayah dan Ibu, ya. Kesian, Ibu sakit. Keluarlah cepat". Aku hanya tersenyum saja walaupun dalam kesakitan...

Alhamdulillah. Selepas sahaja suamiku bertolak pulang ke rumah ibubapanya yang berhampiran dengan hospital, aku pun mula menunjukkan tanda-tanda akan bersalin. Rakan sekampungku, Ani adalah bidan yang mengetuai pasukan jururawat yang menyambut kelahiran anakku itu. Tiba-tiba aku terdengar jeritan kegembiraan dari Ani,"Nor, anak lelakilah! Alhamdulillah..." Hilang rasa sakit kerana bersalin. Hatiku melonjat mengucapkan kesyukuran kerana doaku dan suami di hadapan Kaabah ketika menunaikan umrah telah dimakbulkan ALLAH.

Apabila suamiku kembali semula ke hospital, beliau telah diberitahu yang aku telah selamat bersalin. Namun tidak diberitahu jantina bayi kami. Suamiku menjengukku dan bertanyakan keadaan aku dan bayi kami. Setelah aku memberitahu tentang kelahiran bayi lelaki kami, dapatku lihat riak wajahnya yang kegembiraan. Menitis juga airmata kesyukuran seorang ayah akhirnya. Sebenarnya, kami telah menunggu kelahiran anak lelaki selama 17 tahun! Apabila selesai mengazankan bayi kami, suamiku berkata,"Ibu, sebenarnya Ayah telah bernazar di hadapan Kaabah untuk membawa anak kita ini menunaikan umrah jika ianya lelaki. Alhamdulillah, doa kita dimakbulkan ALLAH." Aku hanya menganggukkan kepala tanda setuju.

Bersama putera kesayangan kami

"Ya ALLAH, aku bersyukur kehadrat Illahi kerana KAU telah memakbulkan doa kami suami isteri. Kami akan membawa anak lelaki kami ini ke rumahMu sebagai menunaikan nazar suamiku. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar dan Maha Adil. Ameen..."