Entah mengapa sejak kebelakangan ini aku begitu mudah menitiskan airmata. Terutama sekali ketika aku bersendirian di rumah. Aku menjadi terlalu emosional.
Pernah suatu malam sebelum melelapkan mata, suamiku menegurku ketika dia terperasan yang aku sedang menangis. Apabila diajukan soalan mengapa aku menangis, aku tercari-cari jawapan yang logik untukku ucapkan kepadanya. Memandangkan pada ketika itu, aku baru sahaja selesai menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada siang harinya, dia terus meyakinkanku agar bersyukur dengan keputusan pemeriksaan tersebut. Memang pun, doktor pakar kardiologi telah berpuas hati dengan perkembangan kesihatan diriku. Malah, pada hujung tahun ini nanti, setelah menjalani ujian darah, jika hasilnya memuaskan, dia mencadangkan agar aku menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Batu Pahat sahaja. Bekalan ubat-ubatanku pun bolehku ambil di Batu Pahat juga. Aku hanya perlu pergi ke Johor Bahru setahun sekali untuk pemeriksaan pacemaker.
Aisyah dan Ghazi, anak-anak kami yang masih setia menemaniku di rumah.
Kini sudah seminggu sesi persekolahan bermula setelah selesai Cuti Pertengahan Penggal Pertama. Walaupun namanya cuti, namun kasihan anak-anakku. Huda dapatlah berehat di rumah dan menghabiskan sisa-sisa cutinya di rumah kawan sepengajiannya di Pasir Gudang. Aisyah sibuk dengan kelas tambahannya dari hari Isnin hingga Khamis. Hanya tinggal Ghazi sahaja di rumah untuk menemaniku. Apa lagi kalau bukan computer game dan pada petangnya pula pergi bermain-main dengan kawan-kawannya. Bermain bola sepak, badminton dan berbasikal adalah agenda utama mereka. Budak lelaki lah katakan... Malah, kami berempat hanya sempat menghabiskan sisa-sisa cuti selama 3 hari di Kuala Lumpur dan Shah Alam sahaja. Yang penting, kami menyambut Hari Jadi Fathiah yang ke18, empat hari lebih awal dari tarikh yang sepatutnya.
Dalam pada aku tertanya-tanya mengapalah aku terlalu emosional sepanjang minggu ini, satu persatu jawapan mula terlerai...
Malam Selasa, aku dan Ghazi tercari-cari e-card yang sesuai untuk dikirimkan kepada Fathiah sempena Hari Jadinya pada keesokkan hari. Setelah siap dipilih dan diedit, kami pun menghantarnya, satu e-card dari aku suami isteri dan satu lagi dari Ghazi dan Aisyah. Kemudian, aku menunggu pula sehingga jam 12 tengahmalam untuk menghantar ucapan melalui facebook. Kalau dah berjauhan, itu lah antara cara-cara untuk membuktikan yang anak-anak sentiasa di hati kami suami isteri pada hari istimewa ini. Pada petang esoknya, aku pun menelefon Fathiah sempena waktu kelahirannya pada jam 5.53 petang...
Malam Rabu, tiba-tiba Huda muncul. Memang anak sulungku ini selalu pulang ke rumah apabila berkesempatan jika tidak bertugas di asrama. Memandangkan jarak dari asramanya ke rumah kami hanyalah 1 km sahaja, siapa yang hendak melepaskan peluang keemasan ini! Sempat jugak dia melelapkan mata sekejap di katil kesayangannya sebelum pulang semula ke asrama. Maklumlah, anak-anak seramai 200 orang yang di bawah jagaannya bersama-sama dengan 3 orang warden lagi itu adalah amanah dan tanggungjawab yang terpaksa dipikulnya...
Malam Rabu, aku berasa kurang sehat. Demam. Aku pun menelan sebiji panadol dan terus tidur awal pada malam itu. Pagi Rabu, suami ku mengajakku keluar ke bandar Batu Pahat. Selalunya kami ke pasar setiap hari Rabu, tetapi pada hari ini kami singgah ke Kedai Makan Mak Limah untuk menikmati Asam Pedas Ikan Merahnya... Tak berasaplah dapurku pada hari ini. Malam Khamis itu, badan ku masih lagi rasa kurang selesa. Demam sikit. Mujurlah kami ada alat untuk mengambil tekanan darah dan nadi di rumah. Dapatlah aku mengmbil bacaannya. Tekanan darah dan denyutan nadi normal saja.
Pagi Khamis itu, aku gagahi juga diri ini untuk menyiapkan sarapan untuk anak-anak yang akan ke sekolah. Selepas itu, aku pun bersarapan dan menelan 2 biji panadol lagi lalu terus tidur .Aku dikejutkan dek kepulangan Huda pagi itu. Aku terjaga apabila terdengar namaku dipanggil.
Alhamdulillah rasanya demamku sudah pulih. Aku ke dapur dan mula menyiapkan sup kambing dengan bantuan suamiku. Petangnya, aku menerima pesanan ringkas dari Nadiah. Lewat petang baru aku berkesempatan menelefonnya. Sedinya hati bila mendengar suaranya yang sangat lemah dan tak bermaya oleh sebab keletihan. Rupa-rupanya dia sudah tidur. Keletihan kerana sudah 4 hari dia bertolak ke hospital jam 6.30 pagi dan pulang jam 7 malam! Aku pula terlupa perbezaan masa selama 3 jam antara Malaysia dan Australia. Pukul 6 petang di sini bersamaan dengan pukul 9 malam di sana! Aku menyarankan agar esok saja aku menelefonnya. Dengan lain perkataan, panggilan telefon itu tadi adalah untuk menyuruhnya menunaikan solat Isyak sebelum dia menyambung tidurnya kembali...
Dan, pada hari Jumaat, ketika aku menjengok ke facebook, Nadiah mencelah. Kami pun berkomunikasi melalui skype. Dapatlah kami bersemuka setelah sekian lama tidak bertemu. Begitu juga dengan suamiku, Aisyah dan Ghazi. Kami meluangkan masa berbual-bual tentang pekembangan diri masing-masing. Sempat juga Ghazi menunjukkan Ben 10, anak kucing terbaru kami kepada kakaknya itu. Bila dikira semula, tanpa kami sedari kami mempunyai sebanyak 11 ekor kucing di rumah kami sekarang!!!
Akhirnya, terlerailah jawapan kenapa aku begitu emosional sepanjang minggu ini. Maafkan aku, wahai suami, yang sebenar-benarnya aku rindukan kehadiran kelima-lima orang permata hati kita. Alhamdulillah, aku telah pun mendapat penawar kepada perasaan rinduku ini.. Yang pasti, aku sudah boleh tidur tanpa linangan airmata. Aku pun tidak perlu menelan panadol lagi. Bantalku pun sudah tidak basah lagi....