Tuesday, November 1, 2011

AYAH, KAMI AMAT MERINDUIMU...

Pada hari Rabu, 12 Oktober 2011, kira-kira jam 9.00 malam, aku telah kehilangan ayahandaku yang tersayang... 


Meskipun belum sebulan berlalu, namun kehilangannya amat ku terasa sehingga kini. Aku tak jemu-jemu membaca entri tentangnya dalam blog anak-anakku Nadiah dan Fathiah. Begitu juga entri dalam ruang status facebookku dan adik-adiku Norlida, Roslan, Norliha dan Norliza serta anak saudaraku, Farah... Jauh di sudut hatiku aku memang berhasrat untuk membuatkan sesuatu coretan  tentang ayahandaku tersayang, Haji Abdul Samad bin Mahmood. Namun, dek kerana aku masih berupaya mengumpulkan sisa-sisa semangat yang ditinggalkan di samping membina semula kekuatan diri yang pernah luruh ketika pemergiannya, aku tolak ke tepi hasrat itu buat seketika. Perginya yang tidak akan kembali lagi itu adalah satu kehilangan yang amat besar buat diri kami sekeluarga...


Kad ucapan Hari Jadi yang terakhir dari kami sekeluarga

Hamper Hari Jadi yang terakhir dari kami sekeluarga

Tanggal 19 Februari tidak akan memberi apa-apa sinar pada keluarga kami lagi. Selalunya beberapa hari sebelum tarikh itu, kami sekeluarga sudah mula merancang barangan yang hendak kami jadikan hamper serta rekaan -rekaan kad ucapan yang bagaimana yang sesuai untuk dijadikan pemberian pada Hari Lahir ayahku. Rasanya pemberian hamper dan kad ucapan hasil tangan kami sekeluarga sudah menjadi sinonim pada keluargaku setiap kali menjelang hari lahirnya. Dan pada tarikh itu, kami akan menyambutnya bersama-sama ahli keluarga adik-adikku yang lain. Tiada lagi kata-kata, "Selamat Hari Lahir, Ayah" dariku dan suami serta "Happy Birthday, Atuk Ayah" dari anak-anakku... Yang pasti adalah sedekah surah AlFatihah dan Surah AlIkhlas dari kami setiap kali selepas solat 5 waktu serta bacaan Yasin pada setiap malam Jumaat beserta doa untuk kesejahteraan rohnya di sana...




Setakat ini saja keupayaan yang aku ada untuk entri pada kali ini. Aku masih berusaha mengumpulkan balik semangat dan kekuatan pada diri ini untuk berdiri teguh seperti suatu waktu dahulu...


Sesungguhnya, aku amat merinduimu, Ayah...