Thursday, January 27, 2011

AKU CEMBURU

Petang tadi aku terpaku. Sekoyong-koyong, tanpa memperdulikan aku, kau terus menghidupkan enjin kenderaanmu lalu terus keluar dari rumah. Aku tergamam dan hanya berupaya memerhatikan gelagatmu dari ruang tamu rumah kita. Sepatah perkataan pun tidak terkeluar dari mulutmu. Sungguh aku tidak menyangka, begitu gelagatmu...

Sebenarnya aku telah menyedari perubahan dari segi tingkahlakumu sejak hampir 3 minggu yang lalu. Aku telah dan sedang memcuba untuk menafikan perubahan yang berlaku itu. Manalah tahu kalau ianya hanya mainan perasaanku sahaja. Namun, perasaan cemburuku semakin hari semakin menebal. Aku cemburu...

Aku mula sedar yang kau sudah tidak lagi mencariku setiap kali sampai ke rumah ketika pulang dari kerja. Setelah memberhentikan kenderaanmu lalu mematikan enjinya, kau akan mengambil masa yang lama berada di perkarangan rumah. Dialah yang kamu cari dulu. Mengambil tahu perkembangan dirinya, memuji keelokan paras rupanya, memerhatikan apa-apa keperluannya yang boleh kau laksanakan. Kalau boleh, hendak duduk berbual dengannya... Selepas itu, barulah kamu tercari-cari aku dan anak-anak. Umpama baru tersedar dari mimpi yang indah! Kewujudan kami dalam hidupmu seolah-olah jatuh di tempat kedua selepasnya. Aku cemburu...

Begitu juga pada setiap pagi. Setelah selesai menunaikan kewajipanmu, kamu terus keluar dan bertemu dengannya untuk bertanya khabar. Aku dan anak bongsuku Ghazi tidak kau pedulikan pun, walaupun pada ketika itu kami berdua sedang menunggu  van Cik Dah untuk mengambilnya ke sekolah. Namun setelah van sampai dan Ghazi bertolak ke sekolah pun, kau masih lagi berdamping dengannya. Aku cemburu...

Setelah bersiap-siap untuk ke tempat kerja pun, aku yang beriya-iya menunggu untuk bersalam denganmu. Kau seperti acuh tak acuh saja menghulurkan tanganmu dan terus keluar ke perkarangan rumah. Duduklah aku di bangku batu di luar rumah. Jenuh aku menunggu untuk melepaskan kau ke tempat kerja dengan lambaian penuh kasih sayang seorang isteri dengan diiringi doa. Leka sungguh kau menatapnya sambil membelek-belek tubuhnya serta wajahnya yang ceria. Aku cemburu..







Perhatian yang diberikan kepada pokok-pokok orkid kesayangannya inilah yang menyebabkan perubahan dalam rutin hidup kami sekeluarga...