Sunday, March 27, 2011

SUATU KETIKA DAHULU...

Pagi Jumaat lepas, seperti biasa aku menemankan anak bongsuku, Ghazi menunggu van sekolahnya di luar rumah. Sambil menunggu tu, aku ternampak kereta jiran kami, Cikgu Muhairani lalu di hadapan rumah. Aku melemparkan senyuman sambil mengangkat tangan. Tatkala itu, van sekolahnya pun sampai. Sebenarnya aku juga sedang menunggu kepulangan suamiku dari masjid. Seperti biasa, dia sepatutnya membelikan sarapan untuk bekalan Ghazi di sekolah. Selepas bersalaman denganku, Ghazi pun mengatur langkah menuju ke arah van yang sedang menunggu. Apabila van mula bergerak, barulah suamiku sampai dengan motosikalnya. Lalu, aku mencadangkan agar dia terus ke sekolah saja dan bertemu dengan Ghazi di luar pintu pagar sekolah...


Setelah itu, aku pun memberi makan ikan peliharaan kami yang pasti berenang-renang ke tebing kolam apabila aku berdiri berhampiran dengan kolam tersebut. Adalah beberapa ekor ikan emas, ikan kap dan anak-anak ikan rainbow di dalamnya. Bekas makanan kucing pun aku isikan dengan makanan kucing. Sambil duduk di bangku batu untuk menunggu kepulangan suamiku, terbayang di ingatanku rutin hidupku kira-kira 2 tahun yang lalu...

Setiap pagi, setelah mengejutkan anak-anakku dari tidur, aku akan bergegas ke dapur untuk menyiapkan sarapan yang ringkas buat anak-anakku. Selain daripada air teh O, selalunya aku menyediakan roti telur, kentang goreng, frankfurter atau apa saja untuk dijadikan alas perut sebelum mereka makan di kantin sekolah waktu rehat kelak. Selepas itu, barulah aku ke bilik mandi untuk membersihkan diri sebelum menunaikan solat subuh dan seterusnya bersiap-siap untuk ke sekolah.
Setelah Aisyah bertolak ke sekolah dengan menaiki van jiranku, Hj. Yusof bersama  anak-anaknya, suamiku pun membantuku memanaskan enjin keretaku. Sementara itu, aku dan Ghazi memasukkan beg serta segala keperluan kami ke dalam kereta, seperti beg-beg sekolah kami, beg dan pakaian Sekolah Agamanya serta alatan keperluan yang lain. Itu tidak termasuk beberapa pasang kasutku dan Ghazi yang sememangnya berada di dalam keretaku serta alatan membersihkan diri sebelum ke sekolah Agamanya nanti.


Setelah meminta izin dari suami untuk ke sekolah, aku dan Ghazi pun bersalam dengan suamiku lalu bertolak ke sekolah. Suamiku tidak lupa untuk melepaskan kami ke sekolah dengan lambaian dan senyuman penuh keikhlasan. Sejuk rasa hatiku... Perjalanan ke sekolah yang mengambil masa lebih kurang 15 minit itu terasa sunyi kecuali jika aku membuka siaran radio pada pagi itu. Ini adalah kerana Ghazi mengambil kesempatan ini untuk menyambung baki tidurnya sebelum sampai ke sekolah. Jadi, sebelum aku sampai ke laluan masuk utama kawasan sekolah,  aku perlu mengejutkannya...

Tatkala sampai saja di kawasan sekolah, Ghazi akan menggunakan panggilan "Teacher" untuk memanggilku. Itu pun jika terpaksa, barulah dia akan memanggilku. Dan aku pun akan memberi Ghazi layanan yang sama rata seperti pelajar-pelajar yang lain. Jika baik diberikan pujian, jika sebaliknya diberikan teguran. Pada waktu rehat, Ghazi tidak perlu beratur di hadapan kaunter seperti rakan-rakanya. Makanan untuknya telah disediakan di bahagian dalam kantin. Namun, selalunya Ghazi berkongsi makanan dengan rakan-rakan rapatnya.

Pada waktu tengahari, setelah loceng untuk Tahap 1 dibunyikan, Ghazi akan terus ke kantin untuk makan tengahari. Pengurus kantin, Encik Sahran telahpun  menyiapkan hidangan makan tersebut untuk Ghazi dan beberapa orang anak guru yang lain. Setelah makan, Ghazi akan bersiap-siap untuk solat Zohor dan terus mencariku untuk bersalam sebelum ke sekolah Agama.


Apabila loceng untuk Tahap 2 dibunyikan, aku pun akan terus ke Bilik Guru. Sementara menunggu Ghazi tamat sesi pembelajaran di Sekolah Agama pada jam 3.30 petang, aku pun menyemak buku latihan pelajar, menyiapkan tugas-tugasku yang belum selesai atau membuat persediaan untuk hari esoknya.

Tatkala loceng Sekolah Agama tahap 1 dibunyikan, aku pun mengemaskan segala peralatanku dan terus menunggu Ghazi di dalam kereta. Kali ini perjalanan pulang ke rumah tidaklah sesunyi pagi tadi. Aku tidak perlu membuka siaran radio pada ketika ini. Ghazi selalunya akan duduk menyandar di sebelah tempat dudukku dan menyanyikan lagu kegemarannya iaitu,  Menjaga Hati oleh Yovie dan Nuno, sepanjang perjalanan sehinggalah sampai ke rumah. Malah, kakak-kakaknya menggelar lagu ini sebagai Lagu Ibu...

Sampai di rumah, Ghazi pun bersiap-siap untuk pergi mengaji AlQuran di rumah Makcik Aisyah. Aku pun terus mengeluarkan barang-barang dari dalam kereta. Setelah bersolat Zohor, barulah aku dapat melepaskan penat lelah. Aku pun melelapkan mata untuk beberapa minit sebelum ke dapur pula selepas waktu Asar bagi menyediakan hidangan makan  malam yang ringkas-ringkas saja.

Setelah Aisyah dan suamiku pulang, kami pun bersiap untuk makan malam sebelum waktu Maghrib. Malam adalah masa untuk anak-anakku menyiapkan kerja sekolah dan membuat ulangkaji pelajaran mereka. Sambil membantu mereka, aku dan suami meluangkan masa untuk menonton berita atau apa-apa rancangan menarik di televisyen. Kami sekeluarga memang tidak melanggan Astro sejak dari dahulu lagi. Pada pendapat kami berdua sebagai ibubapa, rancangan TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9 serta siaran Mediacorp Singapore telah banyak menyediakan rancangan -rancangan televisyen yang tidak kurang menariknya.


Setelah anak-anakku Aisyah dan Ghazi masuk ke bilik maing-masing untuk tidur, barulah aku dapat menumpukan sepenuh perhatianku terhadap kerja-kerja sekolahku yang masih belum selesai. Suamiku akan menemankan aku sehingga selesai tugas-tugas ku, lalu kami pun ke bilik tidur untuk melelapkan mata.

Namun, segala rutin itu telah berubah sekarang. Jika suatu ketika dahulu rutin hidupku begitu padat, kini  aku sudah boleh menjalani hidup ini dengan tenang dan terurus.   Sekarang aku pula yang berdiri di halaman rumah dan memberikan lambaian kepada anak-anakku dan suamiku setiap kali mereka memulakan perjalanan ke mana-mana. Alhamdulillah...