Wednesday, June 3, 2009

TERIMA KASIH KERANA MENJAGA IBU

Terima kasih Ayah, Huda, Nadiah, Fathiah, Aisyah dan Ghazi Kerana Menjaga Ibu...

Sudah menjadi perkara rutin untuk ku bersalam & mencium tangan suami ku setiap kali sebelum tidur. Memohon kemaafan di atas segala salah & silap yang dilakukan sepanjang hari tersebut.Namun, segalanya mula berubah.

Pada bulan November 2008, keadaan kesihatan ku mulai merundum. Aku mula batuk2 & disahkan mengidap radang paru2. Aku ke HP dan diberikan rawatan kecemasan. Oleh kerana wad ICU telah penuh, aku dihantar ke HBP.

Mulai dari hari itulah aku sering keluar masuk hospital, sama ada di wad biasa dan ada kalanya ICU. Rutin hidup suami ku dan anak2ku mula berubah. Aku terpaksa melepaskan tanggungjawab dan tugas ku di SKSG. Rakan-rakan ku banyak membantuku. Syukur Alhamdulillah. Hanya Tuhan yang dapat membalasnya...

Selain radang paru2, jantung ku juga mengalami komplikasi. Degupannya yang mencapai 145 degupan seminit mengakibatkan aku tidak dapat tidur lena. Doktor juga memberitahu tentang buah pinggang ku mula menunjukkan tanda2 kurang memuaskan.

Kemuncak penderitaan ku adalah apabila tubuhku tidak boleh menerima ubat yang diberi oleh
doktor lagi. Keadaan ku mencemaskan semua, umpama hampir putus nyawa... Anak ku yang belajar di MU, A dipanggil pulang. Perancangan untuk menghantar ku ke HSAJB dibuat seberapa segera.

Masih terbayang lagi dalam ingatan ku anak2, adik2, saudara-mara dan rakan2 yang menghantar di muka pintu masuk HP melambai dengan tangisan. Alhamdulillah Tuhan memberiku ketabahan yang sungguh tebal sehingga aku dapat menahan airmata daripada menitis. Sebaliknya, ku lemparkan senyuman penuh harapan agar aku dapat kembali sihat semula.

Di HSAJB, para doktor mengambil masa lebih kurang seminggu untuk menemui ubat2 yang sesuai dengan penyakit ku setelah menjalankan beberapa ujian. Suami dan 2 orang anakku memberikan sepenuh perhatian kepadaku sepanjang aku berada di sini. Manakala, 3 orang anak2 ku menunggu di rumah di BP.

Akhirnya, pada hari ke8, aku dibenarkan pulang ke rumah. Dapat ku lihat cahaya kegembiraan pada wajah suami dan anak2ku ketika aku menjejakkan kaki ke rumahku. Tersentap hatiku apabila suami ku dengan susah payahnya membelikan set bekalan gas oksigen dan kerusi roda untuk kegunaanku pada masa kecemasan. Bilik tidurku juga dikemaskan umpama wad Kelas 1 di hospital . Siap dengan loceng untuk meminta bantuan.

Mulai malam itulah setiap kali aku bersalam dan mencium tangan suamiku sebelum tidur,

aku akan berkata,"Terima kasih, kerana menjaga Ibu".
Dan suamiku akan menjawab," Tak apa, sudah menjadi tanggungjawab Ayah".
Itulah ungkapan yang diucapkan pada malam2 seterusnya.

Setelah hampir 6 bulan, kesihatan ku mula menunjukkan tanda2 positif. Aku sudah mula dapat tidur dengan lena, selera ku bertambah dan aku sudah boleh membuat latihan fizikal sedikit demi sedikit.

Sehinggalah pada suatu malam, sebelum tidur, seperti biasa selepas bersalam dan mencium tangan suamiku,

aku berkata,"Terima kasih, kerana menjaga Ibu".

Suamiku menjawab,"Tak apa, sudah menjadi tanggungjawab Ayah. Tapi, kenapa Ibu selalu cakap macam ni?"

Jawabku,"Ibu takut Ibu tak sempat mengucapkan terima kasih sebelum Ibu pergi. Setiap saat semasa Ibu belum betul2 pulih, memang Ayah yang menaruh sepenuh keyakinan yang Ibu akan sembuh. Keyakinan itulah yang menjadi peniup semangat untuk Ibu."

Katanya lagi,"Tak apa. Tak payahlah cakap macam tu lagi."

Namun, aku tetap berkata,"Terima kasih Ayah, untuk segala-galanya..."

Mulai dari malam2 seterusnya, aku hanya bersalam dan mencium tangan suamiku sebelum tidur. Walaupun tiada apa2 ungkapan yang diucapkan, ianya mempunyai makna yang amat mendalam...