Tuesday, July 7, 2009

MERDEKA! DAPURKU PUN DAH MULA BERASAP...

Hari Jumaat lepas, tamatlah tempuh kuarantin bagi kami sekeluarga. Alhamdulillah kami sekeluarga sihat-sihat aje. Tiada sesiapapun dalam keluarga kami yang menunjukkan ada tanda2 dijangkiti Influenza A atau H1N1. Anakku N, semakin berselera menikmati hidangan Melayu yang telah lama diidamkan. H dan A telahpun mengangkut barang-barang mereka balik ke rumah kami dari rumah Atok Ayah dan Atok Bak mereka. Ajie pun dah mula bersiap-siap untuk bersekolah semula.
Sebenarnya, aku pun terpaksa menunda tarikh temujanjiku untuk pemeriksaan doktor di HSA, JB demi untuk kuarantin tersebut. Mujurlah suamiku bekerja sendiri, oleh itu mudahlah beliau merancang dan mengagihkan kerja kepada sesiapa yang berkenaan.
Mengenai temujanjiku di HSA, aku sepatutnya datang pada hari Selasa untuk memasang "Holter", sejenis alat untuk mengambil bacaan ECG sepanjang 24 jam. Selepas itu, pada keesokan harinya aku perlu ke HSA lagi untuk menanggalkan alat "Holter" tersebut. Bacaan ECG akan dianalisa oleh doktor pakar kardiologi. Sekiranya didapati kesihatanku masih bermasalah, pihak hospital akan menelefonku untuk rawatan lanjut. Aku berdoa agar segala-galanya berjalan lancar dan tiada lagi masalah baru tentang kesihatanku, Ameen.
Setelah selesai urusan di HSA, kami sekeluarga ke Melaka pula untuk menghantar barang-barang anakku, F yang berada di MRSM Jasin. Rindunya kami sekeluarga kepadanya... Sesampainya kami di Jasin, kami pun membawanya "outing" untuk membeli segala keperluannya serta untuk makan tengahari. Aku seperti biasa berkerusi roda dengan disorong oleh anakku. Sebenarnya jika difikirkan, ada juga kelebihannya berkerusi roda ni. Dapatlah kami menggunakan ruang "parking" yang hampir dengan pintu masuk mana-mana kompleks beli-belah ( yang ada gambar orang naik kerusi roda tu ). Malah, aku juga menggunakan kemudahan awam untuk Orang Kurang Upaya yang lain kerana pergerakanku yang agak terhad. Semua ini dengan bantuan suami dan anak-anaku yang tersayang. Sehingga kini pun aku terpaksa duduk di atas kerusi ketika bersolat.
Setelah menghantar F ke asramanya, kami pun bertolak pulang ke Batu Pahat lebih kurang jam 6.30 ptg. Sempat juga kami singgah di Alai, Melaka untuk menikmati ikan bakar di sana. Sungguh berselera N dan Ajie menikmati semua juadah yang terhidang seperti ikan, sotong, udang, otak2 berserta nasi lemak. Kami sampai ke rumah lebih kurang jam 10.30 mlm. Terasa letih juga badan ni...
Namun, tak cukup dengan itu, suamiku dan N teringin pula nak makan Laksa Johor. Lalu, kami pun sama-sama bertungkus-lumus di dapur untuk memasak juadah tersebut. Sebenarnya Laksa Johor ni, merupakan hidangan kegemaran keluargaku sejak dari dulu lagi. Maaflah adik2 ku dan rakan2 ku sekelian, aku tak dapat menjamahkan kalian juadah tersebut. Oleh kerana aku baru nak cuba2 ke dapur semula dengan pergerakan yang agak terhad ini, tak dapatlah nak masak lebih2. Tapi, yang pentingnya, dapurku dah mula berasap dah...
Dek kerana terlalu lasak ke sana ke sini, aku demam panas pada esoknya. Alhamdulillah dah beransur pulih dah hari ini...