Tuesday, February 28, 2012

ZIARAH PUSARA IBUBAPA PADA HARI JUMAAT


Pada pagi Jumaat tanggal 24 Februari 2012, aku serta suami dan anakku Fathiah telah pergi menziarahi pusara kedua ibubapaku di Tanah Perkuburan Bukit Cermai, Batu Pahat. Pusara mereka terletak berdekatan di antara satu sama lain. Entah mengapa, walaupun telah beberapa kali menziarahi pusara mereka, aku rasa teramat sayu dan sedih apabila berdiri di sisi pusara mereka pada kali ini. Airmataku sudah tidak dapat dibendung lagi sehinggalah adakalanya aku teresak-esak dan sebak rasa di hatiku... Doaku untuk kedua ibubapaku agar roh mereka sentiasa dicucuri rahmatNya, aman dan damai di Alam Barzakh, diluaskan dan diterangi tempat persemadian mereka, diampuni segala dosa dan semoga mereka berdua ditempatkan di dalam Jannah hendaknya, Amin...


Sebagai anak kepada kedua ibubapaku, aku akur pada perintahMu, ya Allah, untuk terus mentaati mereka berdua walaupun setelah mereka pergi menemuiMu.Taat kepada ibubapa adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah kerana mentaati ibu bapa bererti mentaati perintahNya.Allah berikan kedudukan tinggi kepada ibubapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik kepada kedua ibubapa mereka. Ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: 


Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. (Surah Al-Israa ayat 23).


Yang dimaksudkan berbakti kepada kedua ibubapa ialah berbuat baik kepada mereka, mentaati, melaksanakan hak, menjauhi perkara yang menyakiti hati dan kehidupan mereka serta banyak lagi bakti yang patut dilaksanakan untuk mereka.Perintah mentaati ibubapa tidak hanya terbatas kepada golongan tertentu, malah Nabi juga tidak terlepas daripada melakukan ketaatan melalui pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ismail terhadap bapanya Nabi Ibrahim.


Firman Allah yang bermaksud: Wahai ayah, jalankan apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari kalangan orang-orang yang sabar, (Surah Ash-Shaffat ayat 102).


Ayat berkenaan menjelaskan bagaimana Nabi Ismail berbakti kepada bapanya Nabi Ibrahim dengan mentaati perintah Allah. Berbakti kepada ibu bapa juga membawa berkat. 


Sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah saw bersabda: Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada ibubapanya dan menyambung tali silaturahim.Pada dasarnya, berbakti kepada ibubapa tidak bermakna hanya setakat ibubapa masih hidup, malah ketika mereka telah tiada.


Abu Daud dan Ibnu Majah serta Ibnu Hibban di dalam sahihnya, daripada Abi Asid Malik bin Rabiah As-Saidy, berkata: Ketika kami sedang duduk di rumah Rasulullah, tiba-tiba datang seorang lelaki dari Bani Salamah lalu berkata : Ya Rasulullah apakah masih ada apa-apa cara yang boleh saya lakukan untuk berbakti kepada ibu bapa selepas mereka meninggal dunia?


Rasulullah bersabda : Ya, menyembahyangkan jenazah mereka, dan meminta ampunkan dosa mereka, dan menunaikan janji mereka setelah mereka meninggal serta membuat tali silaturahim yang tidak disambung kecuali dengan mereka dan menghormati kawan-kawan mereka.


Ziarah kubur ibu bapa dikira sebagai amalan bakti yang akan diberi ganjaran baik, sebagaimana yang dijelaskan Rasulullah dalam hadis diriwayatkan Thabarani dalam Al-Ausath bermaksud: Sesiapa yang menziarahi kuburan kedua ibu bapanya atau salah seorang di antara mereka setiap hari Jumaat, nescaya diampuni dosanya dan ditulis sebagai orang yang berbakti.


Beruntunglah bagi setiap anak yang prihatin dan ingat akan kedua-dua ibu bapa mereka sama ada sewaktu hidup mahupun setelah mereka (ibubapa) tiada.


Setinggi penghargaan dan terima kasih saya kepada MAHATERA kerana telah memberi keizinan untuk berkongsi artikel tentang tajuk ini...


Pusara Bonda Hjh Selmah binti Sidek yang telah kembali ke rahmatullah 12 tahun yang lalu...

Pusara Ayahanda Hj Abdul Samad bin Mahmood yang telah kembali ke rahmatullah 5 bulan yang lalu.