Wednesday, February 29, 2012

UCAPAN TERIMA KASIH TANDA PENGHARGAAN









Mengucapkan terima kasih ialah suatu amalan yang mudah tetapi seringkali dilupakan. Amalan mengucapkan terima kasih ini kadangkala dilupakan terutamanya dalam kehidupan berkeluarga. Kita seringkali memandang remeh ucapan yang sebenarnya akan memberi makna dan kesan yang besar dalam kehidupan.
              
Ucapan terima kasih amat menyenangkan bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya. Tidak kiralah jika emosi orang yang mendengarnya berada dalam keadaan marah sekalipun. Pasti terubat sedikit amarahnya.

Kalimah yang amat besar impaknya ini perlu dititipkan dalam diri anak-anak agar kehidupannya tersulam dengan budi pekerti yang mulia. Cita-cita untuk melihat anak-anak membesar menjadi orang yang hebat akhlak dan pekertinya perlu bermula daripada keprihatinan ibu bapa dalam mendidik.

Anak-anak kita fitrahnya indah dan suci. Tidak terpalit walau sedikit pun titik hitam sehinggalah didikan dan persekitaran yang memandunya ke arah itu. Pembinaan tassawur (perceptual experience) hidupan yang bermula sedari usianya dua tahun harus diisi dengan contoh-contoh yang baik dan boleh diteladani.

Ucapan penghargaan ‘terima kasih’ perlu dilatih dan dimulakan di rumah. Jika selama ini kita mengabaikan amalan mudah ini, hari ini, mari kita sama-sama ubah. Jadikan ini sebagai amalan kehidupan seharian kita. InsyaAllah kehidupan kita akan lebih ceria dan bahagia.

Akhir sekali,  hargai Allah s.w.t kerana telah memberi kita nyawa, kecerdikan dan peluang untuk kita hidup bagi membolehkan kita buat yang terbaik hari ini, lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Jadikan pencapaian hari ini sesuatu yang terbaik buat diri kita! Jika kita melatih diri untuk menghargai orang lain, mereka akan menghargai kita juga.


Setinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada kaunselor di Unit Kaunseling di Kementerian Kerja Raya, Eizil.com. dan Bawang Goreng kerana telah sudi berkongsi maklumat tentang artikel  di dalam entri saya pada kali ini. Alhamdulillah...


Klik di sini untuk entri berkaitan...