Thursday, January 27, 2011

AKU CEMBURU

Petang tadi aku terpaku. Sekoyong-koyong, tanpa memperdulikan aku, kau terus menghidupkan enjin kenderaanmu lalu terus keluar dari rumah. Aku tergamam dan hanya berupaya memerhatikan gelagatmu dari ruang tamu rumah kita. Sepatah perkataan pun tidak terkeluar dari mulutmu. Sungguh aku tidak menyangka, begitu gelagatmu...

Sebenarnya aku telah menyedari perubahan dari segi tingkahlakumu sejak hampir 3 minggu yang lalu. Aku telah dan sedang memcuba untuk menafikan perubahan yang berlaku itu. Manalah tahu kalau ianya hanya mainan perasaanku sahaja. Namun, perasaan cemburuku semakin hari semakin menebal. Aku cemburu...

Aku mula sedar yang kau sudah tidak lagi mencariku setiap kali sampai ke rumah ketika pulang dari kerja. Setelah memberhentikan kenderaanmu lalu mematikan enjinya, kau akan mengambil masa yang lama berada di perkarangan rumah. Dialah yang kamu cari dulu. Mengambil tahu perkembangan dirinya, memuji keelokan paras rupanya, memerhatikan apa-apa keperluannya yang boleh kau laksanakan. Kalau boleh, hendak duduk berbual dengannya... Selepas itu, barulah kamu tercari-cari aku dan anak-anak. Umpama baru tersedar dari mimpi yang indah! Kewujudan kami dalam hidupmu seolah-olah jatuh di tempat kedua selepasnya. Aku cemburu...

Begitu juga pada setiap pagi. Setelah selesai menunaikan kewajipanmu, kamu terus keluar dan bertemu dengannya untuk bertanya khabar. Aku dan anak bongsuku Ghazi tidak kau pedulikan pun, walaupun pada ketika itu kami berdua sedang menunggu  van Cik Dah untuk mengambilnya ke sekolah. Namun setelah van sampai dan Ghazi bertolak ke sekolah pun, kau masih lagi berdamping dengannya. Aku cemburu...

Setelah bersiap-siap untuk ke tempat kerja pun, aku yang beriya-iya menunggu untuk bersalam denganmu. Kau seperti acuh tak acuh saja menghulurkan tanganmu dan terus keluar ke perkarangan rumah. Duduklah aku di bangku batu di luar rumah. Jenuh aku menunggu untuk melepaskan kau ke tempat kerja dengan lambaian penuh kasih sayang seorang isteri dengan diiringi doa. Leka sungguh kau menatapnya sambil membelek-belek tubuhnya serta wajahnya yang ceria. Aku cemburu..







Perhatian yang diberikan kepada pokok-pokok orkid kesayangannya inilah yang menyebabkan perubahan dalam rutin hidup kami sekeluarga...

Monday, January 24, 2011

TOLONG INGATKAN AKU

Jangan disusun kata-kata penamat
Jangan disebut baris ayat keramat
Biar lenyap diserap sunyi
Biar senyap yang tak menyepi

Tolong ingatkan aku
Kisah kau tersedar
Dengan saku penyeluk masa

Mari patahkan papan markah lama
Mari padamkan buku tiga lima
Biar luka sembuh sendiri
Biar lupa ditebus hari

Kau dampingi aku
Setiap detik jantungku berdetak
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Bila marah merasuk minda 
Kecewa menyelubungi jiwa 
Aku lupa... 


Alhamdulillah. Bersyukur aku kehadrat Illahi kerana sentiasa mengingatkan aku setiap kali aku alpa. Setiap ujian yang aku lalui dalam hidup ini membuatkan aku semakin tabah dan akur bahawa ujian itu merupakan peringatan daripadaNya agar aku berubah menjadi insan yang lebih baik. Insyaallah, aku tidak pernah menyesali dan mengeluh setiap kali diuji olehNya. Namun, aku sentiasa berdoa agar ALLAH mendugaku setakat apa yang aku termampu untuk memikulnya. Sesungguhnya, ALLAH Maha Mengetahui.

Terima kasih rakan-rakan serta kenalan semua, kerana sentiasa mengingatkan aku bahawa anda semua sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan diriku. Ketika aku diduga, baru kusedari anda semua sentiasa ada bersamaku untuk memberikan semangat dan kekuatan kepada diriku. Malah, ada rakan-rakan yang menitiskan airmata ketika bertemu meskipun kita telah terputus hubungan hampir 30 tahun... Betapa terharunya aku... Terima kasih semua, kerana masih mengingatiku.

Buat jiran-jiran tetanggaku, terima kasih kerana selalu mengingatkan aku tentang keadaan kesihatanku. Mereka sentiasa menanyakan khabarku. Kami semua tidak pernah lupa untuk bertegur-sapa setiap kali bertemu. Sekurang-kurangnya kami akan melemparkan senyuman jika tidak sempat berbicara. Kami semua umpama satu keluarga yang besar! Maklumlah taman perumahan kami ini mengandungi hanya 44 buah rumah sahaja...

Untuk Ayahku dan adik-adikku, terima kasih kerana sentiasa berada bersamaku dalam apa jua  situasi. Umpama berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Alhamdulillah, adik-adikku serta ahli keluarga kami selalu juga berkumpul bersama-sama Ayahku serta Mak Wan. Setidak-tidaknya pun, kami mengadakan majlis Tahlil Keluarga terutamanya untuk Allahyarhumah emak kami yang dikasihi serta Allahyarham adikku, Rosman. Aku tidak akan lupa bahawa aku mempunyai kamu semua... 

Buat anak-anakku, Ibu rasa bersyukur kehadrat Illahi kerana mempunyai zuriat yang sentiasa mengingatkan Ibu dan berdoa  untuk kesihatan serta kesejahteraan hidup Ayah dan Ibu. Setiap ujian yang diturunkan ALLAH telah kami sama-sama lalui dengan sabar dan tabah. Pengorbanan dari segi tenaga, masa, wang ringgit serta perhatian yang diberikan untuk Ibu sentiasa mengingatkan Ibu betapa anak-anak semua begitu sayang dan kasih kepada Ibu. Itulah juga yang menjadi pendorong kepadaku untuk menjalani hidup ini dengan lebih yakin dan tabah. Sesungguhnya Ibu juga sangat-sangat menyayangimu, wahai anak-anakku...

Buat suamiku, rasa penghargaan yang tidak terhingga buatmu kerana telah sama-sama mengharungi susah senang hidup ini di samping selalu mengingatkan aku dalam banyak perkara. Kau sentiasa bersamaku dalam setiap ujian yang diturunkan ALLAH dan tidak putus-putus berusaha serta berdoa untuk kesejahteraan hidup kita. Pengorbanan serta perhatian yang diberikan kepadaku, meskipun ia merupakan tanggungjawabmu kepadaku, isterimu, telah kau laksanakan dengan baik. Alhamdulillah...

Setinggi penghargaan dan terima kasih kulafazkan buat suami, anak-anakku, Ayahku, adik-adikku, jiran tetanggaku, rakan serta kenalanku. Tolong ingatkan aku seandainya aku lupa...