Sudah agak lama tiada entri baru yang dapat dimasukkan ke dalam blog. Macam-macam perkara yang berlaku dan urusan yang terpaksa dibereskan. Anak-anak yang pulang bercuti juga perlu diberikan perhatian yang lebih. Maklumlah dah lama berjauhan...
Peluang pergi bercuti ke pantai timur bersama keluarga amatlah manis sekali. Walaupun suami dan anak2 terpaksa mengikut "rentak" ku serta membantu ku sepanjang waktu percutian, dapat ku lihat betapa sabarnya mereka. Mana tidaknya, hotel perlu yang ada lif kerana aku masih kurang berkeupayaan untuk menaiki tangga. Berjalan pun kadang-kadang perlu dipimpin, kerana masih belum begitu stabil lagi. Ada kalanya aku menggunakan juga kerusi rodaku.
Pulang dari bercuti, suamiku, anak2ku serta diriku juga demam, batuk2 dan selsema sehingga hilang suara. Kecuali F dan G yang tidak sakit apa2 pun, kami semua mengambil masa seminggu untuk betul2 sembuh.
Kini, aku berada dalam dilema pula. Anak keduaku, N akan bertolak dari M, A pada hari Sabtu, 27 Jun 2009 jam 10.00 pagi waktu A dan dijangka akan sampai ke CA di S pada jam 6.00 petang. Beliau akan pulang untuk cuti musim sejuk dan tujuan utamanya adalah untuk bersama-sama keluarga yang dirinduinya. Sebagai ibu, aku faham dia juga ingin mengikuti perkembangan kesihatan diriku. Menurutnya dia dapat rasakan perkembangan positif daripada suaraku yang selalu ceria apabila bercakap dengannya sejak kebelakangan ini.
Akan tetapi, bila memikirkan tentang wabak H1N1 atau SB yang sedang merebak sekarang ini, hatiku berbelah-bagi. Tidak dapat ku bayangkan reaksinya seandainya aku menyuruhnya membatalkan hasratnya untuk pulang ke kampung halaman. Pasti beliau akan berkecil hati. Sedang aku berkira-kira untuk mengaturkan langkah-langkah yang perlu diambil apabila beliau berada di rumah nanti , kami dikejutkan dengan kes H1N1 yang pertama di Johor!
Sejak seminggu ini, setiap hari aku akan menelefon N untuk bertanya khabar di samping memberikan nasihat demi nasihat yang terlintas di dalam ingatan. Mengalahkan seorang doktor lagaknya...
Makan lebih buah-buahan yang banyak vitamin C untuk elakkan selsema. Pakai topeng pernafasan di tempat awam, pastikan makan makanan berkhasiat supaya tidak demam dan banyakkan minum air panas. Cuci tangan selalu dan macam2 lagi... Sehingga aku terlupa yang aku sedang bercakap dengan seorang bakal doktor, sebenarnya. Tentulah dia lagi arif. Akhirnya beliau ketawa dengan bebelan aku yang panjang itu...
Sebenarnya, bagi rakyat negara A, mereka telahpun diberikan suntikan vaksin selsema menjelang musim sejuk ini, termasuklah pelajar-pelajar universiti. N telahpun menerima suntikan tersebut. Adalah satu perkara lumrah jika ada sesiapa yang mengidap selsema pada musim sejuk ini di negara A. Oleh itu, ketika pelajar2 Malaysia memakai topeng pernafasan di tempat awam di sana, rakyat A berasa hairan dan pelik. Namun, aku berjaya membuat N berjanji untuk berhati-hati dan memakai topeng pernafasan itu kelak.
Bagi diriku dan suami, selagi anakku, N belum menjejakkan kaki ke rumah kami, selagi itulah aku tidak akan berhenti berdoa untuk beliau...
"Ya ALLAH, Kau lindungilah anakandaku ini daripada segala bala bencana, mala petaka dan mara bahaya. Permudahkanlah segala urusannya sehingga beliau selamat sampai ke pangkuan keluarga yang amat dirinduinya. Kekalkan kesihatannya pada tahap terbaik dan lindungi beliau daripada sebarang penyakit, Ameen..."
1 comment:
salam ibu!
hehe! akhirnye post jgak~
uish, jelesnye dgn N!
nk blk rumah jgak! =(
insyaallah, xde pape nye lah..
=))
Post a Comment