Thursday, February 16, 2012

BERBAKTI KEPADA IBUBAPA

Sebuah adaptasi dari Khutbah Jumaat.
SEBAGAI  INGATAN  KEPADA DIRI  SENDIRI 


Oleh kerana besarnya pengorbanan ibubapa terhadap kita, maka sewajarnyalah Allah mewajibkan kita mematuhi mereka. Ganjaran di atas layanan kita terhadap ibu bapa dibalas oleh Allah semasa di dunia lagi. Contohnya, jika kita mentaati mereka, anak-anak kita akan taat kepada kita. Sebaliknya jika kita menderhaka kepada mereka, anak-anak kita akan derhaka kepada kita pula. 


Allah memberi penghormatan kepada ibu bapa semasa mereka masih hidup sehinggalah mereka meninggal dunia. Anak-anak masih boleh menyumbangkan kebaktian sekalipun mereka telah lama terkubur. Hakikatnya, sebagaimana kita wajib berbakti kepada kedua ibu bapa semasa mereka masih hidup, begitu juga wajib bagi kita berbakti kepada keduanya sesudah mereka meninggal dunia. Ini dapat dilakukan dengan banyak beristighfar dan doa untuk mereka berdua, bersedekah, membayar semua hutang piutang serta melaksanakan semua wasiat, menghubungkan silaturrahim dengan teman-teman serta kaum kerabat dan orang-orang kesayangan mereka. Semua ini merupakan kebaktian yang dapat kita lakukan untuk ibu bapa yang telah meninggal dunia.  


Sabda Baginda s.a.w:   
" Berbaktilah kepada dua orang tua kamu (ibu bapa), nescaya anak-anak kamu akan berbakti kepada kamu. Dan peliharalah kehormatan isteri-isteri orang lain, nescaya isteri-isteri kamu akan memelihara kehormatan mereka”.

Sebenarnya kita tidak berdaya membalas jasa ibubapa kita. Hakikat ini perlulah kita insafi. Oleh sebab itu, untuk membalas jasa mereka, kita digalakkan mendoakan mereka setiap kali selepas solat sama ada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia. Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik-baik mungkin. Fahamilah hakikat bahawa, setiap kita adalah anak dan setiap kita juga dalam masa yang sama sebagai seorang ayah dan ibu. Sebagaimana kita mahukan anak-anak kita berbakti kepada orang tuanya, begitulah halnya dengan kemahuan kedua orang tua kita. 


Bak kata pepatah Inggeris,  "What goes around, comes around" dan perumpamaan Melayunya pula, "Hidup ini umpama roda"...

2 comments:

Radin N said...

Good sharing ibu... :)

Just to add up something, bak kata pepatah melayu-aussie, "hidup ini umpama boomerang" - what goes around comes around..

norlilasamad said...

Nadiah,

Ok, I couldn't agree more... In other words, "What you give, you get back"...