Tuesday, December 6, 2011

RESEPI KEK COKLAT KUKUS

Bahan-bahan:

1 1/4 cawan tepung naik sendiri
1 cawan serbuk koko Van Houten
1 cawan susu pekat manis
1 cawan susu cair
1 cawan minyak masak
1 cawan gula pasir
3 biji telur ayam (pukul terlebih dahulu)
1 keping coklat masakan

5 sudu besar coklat urai

Cara-cara membuatnya:
1) Campurkan susu pekat manis, susu cair, minyak masak, gula pasir dan serbuk koko    sehingga sebati.
2) Pukul telur hingga sedikit kembang.
3) Masukkan tepung naik sendiri dan kacau sehingga sebati.
4) Sediakan loyang yang disapu dengan minyak masak dan masukkan adunan tadi.
5) Kukus selama 45 hingga 60 minit.

6)Cairkan coklat masakan bersama 1 camca teh minyak masak menggunakan teknik "double boiling".
7) Sapukan coklat melitupi kek tersebut.
8) Taburkan coklat urai di atasnya sebagai hiasan.


( Kek ini merupakan kek kegemaran Huda dan Ghazi. Cara membuatnya mudah dan bahan-bahannya senang didapati.)

Tuesday, November 1, 2011

AYAH, KAMI AMAT MERINDUIMU...

Pada hari Rabu, 12 Oktober 2011, kira-kira jam 9.00 malam, aku telah kehilangan ayahandaku yang tersayang... 


Meskipun belum sebulan berlalu, namun kehilangannya amat ku terasa sehingga kini. Aku tak jemu-jemu membaca entri tentangnya dalam blog anak-anakku Nadiah dan Fathiah. Begitu juga entri dalam ruang status facebookku dan adik-adiku Norlida, Roslan, Norliha dan Norliza serta anak saudaraku, Farah... Jauh di sudut hatiku aku memang berhasrat untuk membuatkan sesuatu coretan  tentang ayahandaku tersayang, Haji Abdul Samad bin Mahmood. Namun, dek kerana aku masih berupaya mengumpulkan sisa-sisa semangat yang ditinggalkan di samping membina semula kekuatan diri yang pernah luruh ketika pemergiannya, aku tolak ke tepi hasrat itu buat seketika. Perginya yang tidak akan kembali lagi itu adalah satu kehilangan yang amat besar buat diri kami sekeluarga...


Kad ucapan Hari Jadi yang terakhir dari kami sekeluarga

Hamper Hari Jadi yang terakhir dari kami sekeluarga

Tanggal 19 Februari tidak akan memberi apa-apa sinar pada keluarga kami lagi. Selalunya beberapa hari sebelum tarikh itu, kami sekeluarga sudah mula merancang barangan yang hendak kami jadikan hamper serta rekaan -rekaan kad ucapan yang bagaimana yang sesuai untuk dijadikan pemberian pada Hari Lahir ayahku. Rasanya pemberian hamper dan kad ucapan hasil tangan kami sekeluarga sudah menjadi sinonim pada keluargaku setiap kali menjelang hari lahirnya. Dan pada tarikh itu, kami akan menyambutnya bersama-sama ahli keluarga adik-adikku yang lain. Tiada lagi kata-kata, "Selamat Hari Lahir, Ayah" dariku dan suami serta "Happy Birthday, Atuk Ayah" dari anak-anakku... Yang pasti adalah sedekah surah AlFatihah dan Surah AlIkhlas dari kami setiap kali selepas solat 5 waktu serta bacaan Yasin pada setiap malam Jumaat beserta doa untuk kesejahteraan rohnya di sana...




Setakat ini saja keupayaan yang aku ada untuk entri pada kali ini. Aku masih berusaha mengumpulkan balik semangat dan kekuatan pada diri ini untuk berdiri teguh seperti suatu waktu dahulu...


Sesungguhnya, aku amat merinduimu, Ayah...

Saturday, September 10, 2011

AKU REDHA

Hari ini, Sabtu, tanggal 12 Syawal 1432 Hijrah. Pelbagai perkara yang sedang dan bakal aku hadapi sejak kebelakangan ini. Ya, ALLAH, permudahkanlah segala urusanku dan berikanlah aku kekuatan untuk menghadapinya, Amin... Namun, aku tetap redha dengan ketentuanMu.

Sejak Hari Rabu minggu lepas ayahandaku, Haji Abdul Samad bin Mahmood, telah dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Fatimah Muar setelah beliau dibawa ke sana untuk pemeriksaan rutinnya berkaitan sakit pada bahagian tulang belakang di pinggangnya. Para doktor hendak membuat beberapa ujian lanjut sebelum mengenalpasti punca rasa sakit pada bahagian tersebut. Rasa sakit itu telah membataskan semua pergerakannya lalu menyebabkan beliau terlantar di atas katil. Saya pasti Mak Wan telah berusaha sedaya mungkin untuk menjaganya sepanjang beliau dalam kesaktan itu. Semoga CT scan yang bakal dilakukan pada hari Rabu, 14 September nanti, bakal merungkaikan punca masalah beliau dan semoga ianya memberikan perkhabaran baik, Amin... Mujurlah adikku, Roslan dan isterinya Maslina bertugas di situ. Dapatlah juga mereka berdua memberikan perhatian kepadanya tatkala selesai tugas hakiki mereka.

Pada hari ini juga adikku, Norlida akan menghantar anakandanya ke Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai. Ezzah akan menyambung pengajiannya di Universiti Malaysia Sarawak di Samarahan mulai Isnin ini. Pada hari esok pula beliau akan ke Kuala Lumpur pula untuk menghantar anakandanya, Farah yang akan menyambung pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa juga pada hari Isnin ini. Semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju, Amin...

Aku dan suami pun akan memulakan perjalanan kami ke Shah Alam untuk menghantar anakanda kami, Fathiah yang akan memulakan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara di bidang perubatan mulai Isnin ini. Esok adalah hari pendaftarannya. Sebelum itu, kami akan singgah di Hospial Muar untuk menziarahi ayahandaku.

Setelah menghantar Fathiah esok, aku dan suami akan bermalam di Kuala Lumpur sebelum menjalani pemeriksaan rutinku di Hospital Serdang pada hari Selasa, 13 September nanti. Semoga ALLAH permudahkan semua urusan kami dan segalanya berjalan lancar serta mendapat perkhabaran yang positif tentang kesihatanku, Amin...

Dua orang anak saudaraku, Harith dan Akmal pula akan menduduki peperiksaan UPSR mulai Selasa ini. Semoga mereka diberikan kesihatan yang baik dan dapat menjawab dengan tenang serta berjaya dengan cemerlang, Amin.. Merekalah harapan adik-adikku Norliha dan Norliza, Insyaallah.

Anak-anak saudaraku, Hafizudin dan Rina Adilah pula akan menduduki peperiksaan percubaan SPM mereka mulai Selasa ini juga. Semoga dapat menjawab dengan baik serta mendapat keputusan cemerlang, Amin... Jadikanlah keputusan ini kelak sebagai pengukur kepada persediaan untuk SPM sebenar nanti. Saya percaya itulah juga harapan adik-adik saya, Norliha dan Radin Zulkifli.

Sesungguhnya aku redha dengan ketentuanMu, ya ALLAH. Namun, aku bermohon semoga Kau permudahkanlah segala urusanku dan keluargaku serta Kau berikanlah kesihatan dan perlindungan yang sebaik-baiknya kepada kami, Amin...

Monday, August 29, 2011

SALAM SEJAHTERA

 Salam Kerinduan  ya Ramadhan dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri serta maaf zahir batin buat semua umat Islam dari kami sekeluarga...



Tuesday, May 17, 2011

SELAMAT HARI GURU

SELAMAT HARI GURU buat semua guru yang telah mencurahkan ilmu kapada anak-anak bangsa. Semoga segala jasamu sentiasa dikenang sepanjang hayat. Sungguh mulia tugas dan tanggungjawabmu. Terima kasih, Cikgu...


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979