Tuesday, December 6, 2011

RESEPI KEK COKLAT KUKUS

Bahan-bahan:

1 1/4 cawan tepung naik sendiri
1 cawan serbuk koko Van Houten
1 cawan susu pekat manis
1 cawan susu cair
1 cawan minyak masak
1 cawan gula pasir
3 biji telur ayam (pukul terlebih dahulu)
1 keping coklat masakan

5 sudu besar coklat urai

Cara-cara membuatnya:
1) Campurkan susu pekat manis, susu cair, minyak masak, gula pasir dan serbuk koko    sehingga sebati.
2) Pukul telur hingga sedikit kembang.
3) Masukkan tepung naik sendiri dan kacau sehingga sebati.
4) Sediakan loyang yang disapu dengan minyak masak dan masukkan adunan tadi.
5) Kukus selama 45 hingga 60 minit.

6)Cairkan coklat masakan bersama 1 camca teh minyak masak menggunakan teknik "double boiling".
7) Sapukan coklat melitupi kek tersebut.
8) Taburkan coklat urai di atasnya sebagai hiasan.


( Kek ini merupakan kek kegemaran Huda dan Ghazi. Cara membuatnya mudah dan bahan-bahannya senang didapati.)

Tuesday, November 1, 2011

AYAH, KAMI AMAT MERINDUIMU...

Pada hari Rabu, 12 Oktober 2011, kira-kira jam 9.00 malam, aku telah kehilangan ayahandaku yang tersayang... 


Meskipun belum sebulan berlalu, namun kehilangannya amat ku terasa sehingga kini. Aku tak jemu-jemu membaca entri tentangnya dalam blog anak-anakku Nadiah dan Fathiah. Begitu juga entri dalam ruang status facebookku dan adik-adiku Norlida, Roslan, Norliha dan Norliza serta anak saudaraku, Farah... Jauh di sudut hatiku aku memang berhasrat untuk membuatkan sesuatu coretan  tentang ayahandaku tersayang, Haji Abdul Samad bin Mahmood. Namun, dek kerana aku masih berupaya mengumpulkan sisa-sisa semangat yang ditinggalkan di samping membina semula kekuatan diri yang pernah luruh ketika pemergiannya, aku tolak ke tepi hasrat itu buat seketika. Perginya yang tidak akan kembali lagi itu adalah satu kehilangan yang amat besar buat diri kami sekeluarga...


Kad ucapan Hari Jadi yang terakhir dari kami sekeluarga

Hamper Hari Jadi yang terakhir dari kami sekeluarga

Tanggal 19 Februari tidak akan memberi apa-apa sinar pada keluarga kami lagi. Selalunya beberapa hari sebelum tarikh itu, kami sekeluarga sudah mula merancang barangan yang hendak kami jadikan hamper serta rekaan -rekaan kad ucapan yang bagaimana yang sesuai untuk dijadikan pemberian pada Hari Lahir ayahku. Rasanya pemberian hamper dan kad ucapan hasil tangan kami sekeluarga sudah menjadi sinonim pada keluargaku setiap kali menjelang hari lahirnya. Dan pada tarikh itu, kami akan menyambutnya bersama-sama ahli keluarga adik-adikku yang lain. Tiada lagi kata-kata, "Selamat Hari Lahir, Ayah" dariku dan suami serta "Happy Birthday, Atuk Ayah" dari anak-anakku... Yang pasti adalah sedekah surah AlFatihah dan Surah AlIkhlas dari kami setiap kali selepas solat 5 waktu serta bacaan Yasin pada setiap malam Jumaat beserta doa untuk kesejahteraan rohnya di sana...




Setakat ini saja keupayaan yang aku ada untuk entri pada kali ini. Aku masih berusaha mengumpulkan balik semangat dan kekuatan pada diri ini untuk berdiri teguh seperti suatu waktu dahulu...


Sesungguhnya, aku amat merinduimu, Ayah...

Saturday, September 10, 2011

AKU REDHA

Hari ini, Sabtu, tanggal 12 Syawal 1432 Hijrah. Pelbagai perkara yang sedang dan bakal aku hadapi sejak kebelakangan ini. Ya, ALLAH, permudahkanlah segala urusanku dan berikanlah aku kekuatan untuk menghadapinya, Amin... Namun, aku tetap redha dengan ketentuanMu.

Sejak Hari Rabu minggu lepas ayahandaku, Haji Abdul Samad bin Mahmood, telah dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Fatimah Muar setelah beliau dibawa ke sana untuk pemeriksaan rutinnya berkaitan sakit pada bahagian tulang belakang di pinggangnya. Para doktor hendak membuat beberapa ujian lanjut sebelum mengenalpasti punca rasa sakit pada bahagian tersebut. Rasa sakit itu telah membataskan semua pergerakannya lalu menyebabkan beliau terlantar di atas katil. Saya pasti Mak Wan telah berusaha sedaya mungkin untuk menjaganya sepanjang beliau dalam kesaktan itu. Semoga CT scan yang bakal dilakukan pada hari Rabu, 14 September nanti, bakal merungkaikan punca masalah beliau dan semoga ianya memberikan perkhabaran baik, Amin... Mujurlah adikku, Roslan dan isterinya Maslina bertugas di situ. Dapatlah juga mereka berdua memberikan perhatian kepadanya tatkala selesai tugas hakiki mereka.

Pada hari ini juga adikku, Norlida akan menghantar anakandanya ke Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai. Ezzah akan menyambung pengajiannya di Universiti Malaysia Sarawak di Samarahan mulai Isnin ini. Pada hari esok pula beliau akan ke Kuala Lumpur pula untuk menghantar anakandanya, Farah yang akan menyambung pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa juga pada hari Isnin ini. Semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju, Amin...

Aku dan suami pun akan memulakan perjalanan kami ke Shah Alam untuk menghantar anakanda kami, Fathiah yang akan memulakan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara di bidang perubatan mulai Isnin ini. Esok adalah hari pendaftarannya. Sebelum itu, kami akan singgah di Hospial Muar untuk menziarahi ayahandaku.

Setelah menghantar Fathiah esok, aku dan suami akan bermalam di Kuala Lumpur sebelum menjalani pemeriksaan rutinku di Hospital Serdang pada hari Selasa, 13 September nanti. Semoga ALLAH permudahkan semua urusan kami dan segalanya berjalan lancar serta mendapat perkhabaran yang positif tentang kesihatanku, Amin...

Dua orang anak saudaraku, Harith dan Akmal pula akan menduduki peperiksaan UPSR mulai Selasa ini. Semoga mereka diberikan kesihatan yang baik dan dapat menjawab dengan tenang serta berjaya dengan cemerlang, Amin.. Merekalah harapan adik-adikku Norliha dan Norliza, Insyaallah.

Anak-anak saudaraku, Hafizudin dan Rina Adilah pula akan menduduki peperiksaan percubaan SPM mereka mulai Selasa ini juga. Semoga dapat menjawab dengan baik serta mendapat keputusan cemerlang, Amin... Jadikanlah keputusan ini kelak sebagai pengukur kepada persediaan untuk SPM sebenar nanti. Saya percaya itulah juga harapan adik-adik saya, Norliha dan Radin Zulkifli.

Sesungguhnya aku redha dengan ketentuanMu, ya ALLAH. Namun, aku bermohon semoga Kau permudahkanlah segala urusanku dan keluargaku serta Kau berikanlah kesihatan dan perlindungan yang sebaik-baiknya kepada kami, Amin...

Monday, August 29, 2011

SALAM SEJAHTERA

 Salam Kerinduan  ya Ramadhan dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri serta maaf zahir batin buat semua umat Islam dari kami sekeluarga...



Tuesday, May 17, 2011

SELAMAT HARI GURU

SELAMAT HARI GURU buat semua guru yang telah mencurahkan ilmu kapada anak-anak bangsa. Semoga segala jasamu sentiasa dikenang sepanjang hayat. Sungguh mulia tugas dan tanggungjawabmu. Terima kasih, Cikgu...


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979 




Monday, April 11, 2011

MY FOUR BEAUTIES

Having four girls in a row is something we seldom see in a family... Well, I have that in my beloved family and I'm a proud mother to my four beautiful and smart girls.

I got married to my husband in December 1984. We shifted to Segamat soon after we got married. I gave birth to my first girl in November 1985. My second girl was born in March 1988. Both of them were born in Batu Pahat. In 1992, my family and I transfered to Kuala Lumpur. My third girl was born there in March. A year later, I gave birth to my youngest girl in November 1993. She was born in Batu Pahat during the school holidays.


My first and third girls did their pre-school education in TADIKA KEMAS when they were 5 and in TASKI ABIM a year later. While, my second girl attended TASKI ABIM for her pre-school education when she was 5 and then to JAIS Kindergarten a year after that. Whereas, my youngest girl attended TASKI ABIM for both her pre-school education years.

My first and second girls started their primary education in SK Setiawangsa in Kuala Lumpur and continued at SK Convent Batu Pahat until Year 6. My third and fourth girls started their primary education in SK Convent Batu Pahat until Year 6; except for my youngest who finished her primary education in SK Seri Gading. Although my second and third girls obtained straight As in their UPSR, my first and fourth girl did fairly well in the exam, too.



My first girl did her secondary education in SMK Convent until Form 5. She managed to do fairly well in her PMR and SPM before she continued her education in Johor Matriculation College in Tangkak. Then, she continued her studies in Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim and obtained a Degree in Mathematics Education. She is now a teacher in a secondary school in Batu Pahat.

My second girl did her secondary education in SMK Convent Batu Pahat, too. After gaining straight As in her PMR, she continued her Form 4 in Sekolah Seri Puteri in Cyberjaya. After getting straight As in her SPM, she was offered the Public Service Department scholarship and furthered her studies in Monash University, Australia doing Medicine. She is now in her fourth year.



My third girl did her secondary education in  Temenggong Ibrahim Girl's School Batu Pahat. After getting straight A's in her PMR, she continued her Form Four in MRSM Tun Ghafar Baba in Jasin, Melaka. With straight As in her SPM, she was offered the Mara Scholarship to do Asasi Sains in Universiti Teknologi Mara in Shah Alam and will pursue her studies there in September. She had chosen to do Medicine, too. Currently, she is spending her long holidays at her sister's place in Australia. I'm glad to know that she is having a good time over there.

My fourth and youngest girl did her secondary education in Temenggong Ibrahim Girl's School Batu Pahat. She had just obtained her SPM result with 7 As. At present, she is accompanying me at home before pursuing her studies elsewhere.


What a relief... My four beauties have all finished their schooling years. As a mother, I have done my part and I hope I have done my responsibility well. I could still remember how I cried a few hours after giving birth to my youngest girl. At that moment, my husband was still on his way back to Batu Pahat from Kuala Lumpur to visit us. It took a lot of courage to console myself and made a vow that I would take good care of my four girls and turn them into successful  people in the future. 

Well, at present, there is a teacher and two doctors-to-be in the family. I really hope that my youngest girl will one day be as successful as her elder sisters, too...



Actually, the youngest in the family is my son. He is seven years younger than my youngest girl. He is still schooling in Year 5 in SK Seri Beroleh, Batu Pahat. At this age and situation, my husband and I would admit that raising four girls in a row is nothing  compared to raising the only boy in the family...


Thursday, March 31, 2011

TERENGGANU KITE

Guano gamok semuo? Ni nak boyak, ambo guno loghat Ngganu pulok. Mano-mano perkataang yang saloh tu, mintak ampung dang maap kat orang Ngganu, wok... 

12 Mac 2011, hari Sabtu, aku gi ke Ngganu dengang suami dang anok-anok. Suami yang mandu. Gi sano untuk reuniong maktak perguruang. Lama doh dak gi jumpo kawang-kawang lamo masa mengaji kat Maktab Batu Rakit. Kami adalah kumpulan yang pertama blaja di sini. Batch pertamo, wok... Mengaji sano tigo tahung. Nak jadi cikgu Inggerih. Bestnya jumpo kawang-kawang lamo...


Malangnya ada jamuang kat Sekolah Rendoh Sultang Sulaimang. Esok paginya, gi Batu Burok makang sarapang nasi dagang. Pas tu gi naik bot round kat Tamang Tamaddung Islam sampa ke Seberang Takir. Bah maktak hok lamo tu, hok kami naik 28 tahung lepah tu, setia menunggu kami di seberang. Raso lah suami dan anok-anok ku naik bah yang banyok berjaso kepada kami semuo. Bah yang tingkapnya boleh dibuko dan pastinya tadok aircong. Kami semuo dibawo gi jalang-jalang tengok stadium yang bumbungnya sedang dibaiki tu, pusing-pusing Seberang Takir sampa lah ke maktak.


Di maktak ada taklimak dengan Tuang Timbalang Pengarah yang meraikang kami. Katonya Maktak nak buat sambutang sempena ulangtahung ke30 tahung dalang bulang Jung ni. Ada prograng yang diamanohkang kepada kami nanti. Selesai aje majlis tu, sesi ngeteh di Warung Pok Ping pulok. Alhamdulillah, panjang umur Pok Ping. Dio lah yang mulo-mulo meniago di depang kawasang maktak masa kami mulo-mulo mari sini. Nostalgia betul, warung ini. Aku minung teh peng dan makang kepok gete.Pok Ping suko nengok kami mari warungnya rama-rama. Ahli keluarga masing-masing pung gi jugok ngeteh hok sini. Sampa riuh jadinye.

Selesai mengeteh, kami gi round kawasan maktak. Gimnasium, dewang kuliah, perpustakaang, dewang dan asrama masih macang dulu jugok. Tapi lebih molek la... Dewang makang dah tadok. Sekarang sudah ado kafetaria, surau dan bilik-bilik kuliah pung dah bertambah. Banyok jugok anak-anak ku tangkap gambar di sini untuk kenangang.


Lebih kurang pukul 2.30 petang, kami semuo pung menaiki bah maktak untuk ke tempak ICT, Ikang Celup Tepung di pantai Teluk Ketapang. Sedap-sedap belaka... Kami sekeluarga makang dengan begitu berselera sekali. Lepas makang, bah gi hanta kami ke jeti Sebarang Takir untuk menaiki bot ke Jeti Syahbandar. Kalau dulu tambangnya hanya 40 seng, sekarang tambangnya serial atau duo amah.

Sampa saje ke jeti, kami semuo pun bersalamang dan berpesan-pesang agar meneruskan tali persahabatang ini. Sedih jugok rasanya nak berpisoh ni. Kami dah pakat-pakat dah nak mari lagi bulang Jung ni sempena sambutan 30 tahung maktak dan jugok untuk Reuniong  tahung depang. Sesungguhnya perjumpaang ini merupakan  antara pengalamang yang sangat indah dalam hidupku. Setinggi-tinggi penghargaang buat temang-temang dari Kuala Terengganu yang dah bersusoh-payoh menganjurkang Reuniong ini, khasnya buat Yan Kong Lee, Titina Omar, Koo Bon Chin, Mok Mee Yok serta rakang-rakang yang laing...

TESL A 1981 - 1983
Bersama - sama Koo, Yan dan Chancel  ( TESL A )
Aku juga amat berterima kasih kepada sekelian rakan dan kenalan ku yang telah membimbing ku untuk berinteraksi dalam loghat Terengganu sepanjang tempoh pengajian ku di Maktab Perguruan Kuala Terengganu, ( Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato' Razali Ismail ) Batu Rakit, Terengganu dari tahun 1981 sehingga 1983. Seandainya ada salah dan silap dalam penggunaan loghat Terengganu untuk entri kali ini, aku menyusun sepuluh jari dan memohon ampun dan maaf di atas kesilapan yang tidak disengajakan ini.

TERENGGANU SENTIASA DEKAT DI HATIKU...

Sunday, March 27, 2011

SUATU KETIKA DAHULU...

Pagi Jumaat lepas, seperti biasa aku menemankan anak bongsuku, Ghazi menunggu van sekolahnya di luar rumah. Sambil menunggu tu, aku ternampak kereta jiran kami, Cikgu Muhairani lalu di hadapan rumah. Aku melemparkan senyuman sambil mengangkat tangan. Tatkala itu, van sekolahnya pun sampai. Sebenarnya aku juga sedang menunggu kepulangan suamiku dari masjid. Seperti biasa, dia sepatutnya membelikan sarapan untuk bekalan Ghazi di sekolah. Selepas bersalaman denganku, Ghazi pun mengatur langkah menuju ke arah van yang sedang menunggu. Apabila van mula bergerak, barulah suamiku sampai dengan motosikalnya. Lalu, aku mencadangkan agar dia terus ke sekolah saja dan bertemu dengan Ghazi di luar pintu pagar sekolah...


Setelah itu, aku pun memberi makan ikan peliharaan kami yang pasti berenang-renang ke tebing kolam apabila aku berdiri berhampiran dengan kolam tersebut. Adalah beberapa ekor ikan emas, ikan kap dan anak-anak ikan rainbow di dalamnya. Bekas makanan kucing pun aku isikan dengan makanan kucing. Sambil duduk di bangku batu untuk menunggu kepulangan suamiku, terbayang di ingatanku rutin hidupku kira-kira 2 tahun yang lalu...

Setiap pagi, setelah mengejutkan anak-anakku dari tidur, aku akan bergegas ke dapur untuk menyiapkan sarapan yang ringkas buat anak-anakku. Selain daripada air teh O, selalunya aku menyediakan roti telur, kentang goreng, frankfurter atau apa saja untuk dijadikan alas perut sebelum mereka makan di kantin sekolah waktu rehat kelak. Selepas itu, barulah aku ke bilik mandi untuk membersihkan diri sebelum menunaikan solat subuh dan seterusnya bersiap-siap untuk ke sekolah.
Setelah Aisyah bertolak ke sekolah dengan menaiki van jiranku, Hj. Yusof bersama  anak-anaknya, suamiku pun membantuku memanaskan enjin keretaku. Sementara itu, aku dan Ghazi memasukkan beg serta segala keperluan kami ke dalam kereta, seperti beg-beg sekolah kami, beg dan pakaian Sekolah Agamanya serta alatan keperluan yang lain. Itu tidak termasuk beberapa pasang kasutku dan Ghazi yang sememangnya berada di dalam keretaku serta alatan membersihkan diri sebelum ke sekolah Agamanya nanti.


Setelah meminta izin dari suami untuk ke sekolah, aku dan Ghazi pun bersalam dengan suamiku lalu bertolak ke sekolah. Suamiku tidak lupa untuk melepaskan kami ke sekolah dengan lambaian dan senyuman penuh keikhlasan. Sejuk rasa hatiku... Perjalanan ke sekolah yang mengambil masa lebih kurang 15 minit itu terasa sunyi kecuali jika aku membuka siaran radio pada pagi itu. Ini adalah kerana Ghazi mengambil kesempatan ini untuk menyambung baki tidurnya sebelum sampai ke sekolah. Jadi, sebelum aku sampai ke laluan masuk utama kawasan sekolah,  aku perlu mengejutkannya...

Tatkala sampai saja di kawasan sekolah, Ghazi akan menggunakan panggilan "Teacher" untuk memanggilku. Itu pun jika terpaksa, barulah dia akan memanggilku. Dan aku pun akan memberi Ghazi layanan yang sama rata seperti pelajar-pelajar yang lain. Jika baik diberikan pujian, jika sebaliknya diberikan teguran. Pada waktu rehat, Ghazi tidak perlu beratur di hadapan kaunter seperti rakan-rakanya. Makanan untuknya telah disediakan di bahagian dalam kantin. Namun, selalunya Ghazi berkongsi makanan dengan rakan-rakan rapatnya.

Pada waktu tengahari, setelah loceng untuk Tahap 1 dibunyikan, Ghazi akan terus ke kantin untuk makan tengahari. Pengurus kantin, Encik Sahran telahpun  menyiapkan hidangan makan tersebut untuk Ghazi dan beberapa orang anak guru yang lain. Setelah makan, Ghazi akan bersiap-siap untuk solat Zohor dan terus mencariku untuk bersalam sebelum ke sekolah Agama.


Apabila loceng untuk Tahap 2 dibunyikan, aku pun akan terus ke Bilik Guru. Sementara menunggu Ghazi tamat sesi pembelajaran di Sekolah Agama pada jam 3.30 petang, aku pun menyemak buku latihan pelajar, menyiapkan tugas-tugasku yang belum selesai atau membuat persediaan untuk hari esoknya.

Tatkala loceng Sekolah Agama tahap 1 dibunyikan, aku pun mengemaskan segala peralatanku dan terus menunggu Ghazi di dalam kereta. Kali ini perjalanan pulang ke rumah tidaklah sesunyi pagi tadi. Aku tidak perlu membuka siaran radio pada ketika ini. Ghazi selalunya akan duduk menyandar di sebelah tempat dudukku dan menyanyikan lagu kegemarannya iaitu,  Menjaga Hati oleh Yovie dan Nuno, sepanjang perjalanan sehinggalah sampai ke rumah. Malah, kakak-kakaknya menggelar lagu ini sebagai Lagu Ibu...

Sampai di rumah, Ghazi pun bersiap-siap untuk pergi mengaji AlQuran di rumah Makcik Aisyah. Aku pun terus mengeluarkan barang-barang dari dalam kereta. Setelah bersolat Zohor, barulah aku dapat melepaskan penat lelah. Aku pun melelapkan mata untuk beberapa minit sebelum ke dapur pula selepas waktu Asar bagi menyediakan hidangan makan  malam yang ringkas-ringkas saja.

Setelah Aisyah dan suamiku pulang, kami pun bersiap untuk makan malam sebelum waktu Maghrib. Malam adalah masa untuk anak-anakku menyiapkan kerja sekolah dan membuat ulangkaji pelajaran mereka. Sambil membantu mereka, aku dan suami meluangkan masa untuk menonton berita atau apa-apa rancangan menarik di televisyen. Kami sekeluarga memang tidak melanggan Astro sejak dari dahulu lagi. Pada pendapat kami berdua sebagai ibubapa, rancangan TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9 serta siaran Mediacorp Singapore telah banyak menyediakan rancangan -rancangan televisyen yang tidak kurang menariknya.


Setelah anak-anakku Aisyah dan Ghazi masuk ke bilik maing-masing untuk tidur, barulah aku dapat menumpukan sepenuh perhatianku terhadap kerja-kerja sekolahku yang masih belum selesai. Suamiku akan menemankan aku sehingga selesai tugas-tugas ku, lalu kami pun ke bilik tidur untuk melelapkan mata.

Namun, segala rutin itu telah berubah sekarang. Jika suatu ketika dahulu rutin hidupku begitu padat, kini  aku sudah boleh menjalani hidup ini dengan tenang dan terurus.   Sekarang aku pula yang berdiri di halaman rumah dan memberikan lambaian kepada anak-anakku dan suamiku setiap kali mereka memulakan perjalanan ke mana-mana. Alhamdulillah...

Saturday, February 19, 2011

A Birthday Wish To My Dearest Father

An inspirational thought dedicated to my dearest father,
Ayahanda HAJI ABDUL SAMAD BIN MAHMOOD
on his 76th birthday...

TOO TRUE, TOO OFTEN

Too often we didn't realise
What we have until it is gone
Too often we wait too late to say
"I'm sorry - I was wrong"
Sometimes it seems we hurt the ones
We hold dearest to our hearts 
And we allow foolish things
To tear our  lives apart
Far too many times we let
Unimportant things into our minds
And then its usually too late
To see what made us blind
So, be sure that we let people know
How much they mean to us
Take the time to say the words
Before  our time is through
Be sure that we appreciate
Everything we have got
And be thankful for the little things
In life that mean a lot.
Growing old is a privilege
Denied to many
Never leave behind regrets...

From the very first step
To every step of the way
Thank you so much, Ayah
For always being there for us
Here's wishing you a very HAPPY BIRTHDAY
From the very bottom of my heart
And may your good times multiply
Till they're flying off the chart
Wish you happiness and bless from ALLAH,
AMIN...

Friday, February 11, 2011

Thursday, January 27, 2011

AKU CEMBURU

Petang tadi aku terpaku. Sekoyong-koyong, tanpa memperdulikan aku, kau terus menghidupkan enjin kenderaanmu lalu terus keluar dari rumah. Aku tergamam dan hanya berupaya memerhatikan gelagatmu dari ruang tamu rumah kita. Sepatah perkataan pun tidak terkeluar dari mulutmu. Sungguh aku tidak menyangka, begitu gelagatmu...

Sebenarnya aku telah menyedari perubahan dari segi tingkahlakumu sejak hampir 3 minggu yang lalu. Aku telah dan sedang memcuba untuk menafikan perubahan yang berlaku itu. Manalah tahu kalau ianya hanya mainan perasaanku sahaja. Namun, perasaan cemburuku semakin hari semakin menebal. Aku cemburu...

Aku mula sedar yang kau sudah tidak lagi mencariku setiap kali sampai ke rumah ketika pulang dari kerja. Setelah memberhentikan kenderaanmu lalu mematikan enjinya, kau akan mengambil masa yang lama berada di perkarangan rumah. Dialah yang kamu cari dulu. Mengambil tahu perkembangan dirinya, memuji keelokan paras rupanya, memerhatikan apa-apa keperluannya yang boleh kau laksanakan. Kalau boleh, hendak duduk berbual dengannya... Selepas itu, barulah kamu tercari-cari aku dan anak-anak. Umpama baru tersedar dari mimpi yang indah! Kewujudan kami dalam hidupmu seolah-olah jatuh di tempat kedua selepasnya. Aku cemburu...

Begitu juga pada setiap pagi. Setelah selesai menunaikan kewajipanmu, kamu terus keluar dan bertemu dengannya untuk bertanya khabar. Aku dan anak bongsuku Ghazi tidak kau pedulikan pun, walaupun pada ketika itu kami berdua sedang menunggu  van Cik Dah untuk mengambilnya ke sekolah. Namun setelah van sampai dan Ghazi bertolak ke sekolah pun, kau masih lagi berdamping dengannya. Aku cemburu...

Setelah bersiap-siap untuk ke tempat kerja pun, aku yang beriya-iya menunggu untuk bersalam denganmu. Kau seperti acuh tak acuh saja menghulurkan tanganmu dan terus keluar ke perkarangan rumah. Duduklah aku di bangku batu di luar rumah. Jenuh aku menunggu untuk melepaskan kau ke tempat kerja dengan lambaian penuh kasih sayang seorang isteri dengan diiringi doa. Leka sungguh kau menatapnya sambil membelek-belek tubuhnya serta wajahnya yang ceria. Aku cemburu..







Perhatian yang diberikan kepada pokok-pokok orkid kesayangannya inilah yang menyebabkan perubahan dalam rutin hidup kami sekeluarga...

Monday, January 24, 2011

TOLONG INGATKAN AKU

Jangan disusun kata-kata penamat
Jangan disebut baris ayat keramat
Biar lenyap diserap sunyi
Biar senyap yang tak menyepi

Tolong ingatkan aku
Kisah kau tersedar
Dengan saku penyeluk masa

Mari patahkan papan markah lama
Mari padamkan buku tiga lima
Biar luka sembuh sendiri
Biar lupa ditebus hari

Kau dampingi aku
Setiap detik jantungku berdetak
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu

Bila marah merasuk minda 
Kecewa menyelubungi jiwa 
Aku lupa... 


Alhamdulillah. Bersyukur aku kehadrat Illahi kerana sentiasa mengingatkan aku setiap kali aku alpa. Setiap ujian yang aku lalui dalam hidup ini membuatkan aku semakin tabah dan akur bahawa ujian itu merupakan peringatan daripadaNya agar aku berubah menjadi insan yang lebih baik. Insyaallah, aku tidak pernah menyesali dan mengeluh setiap kali diuji olehNya. Namun, aku sentiasa berdoa agar ALLAH mendugaku setakat apa yang aku termampu untuk memikulnya. Sesungguhnya, ALLAH Maha Mengetahui.

Terima kasih rakan-rakan serta kenalan semua, kerana sentiasa mengingatkan aku bahawa anda semua sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan diriku. Ketika aku diduga, baru kusedari anda semua sentiasa ada bersamaku untuk memberikan semangat dan kekuatan kepada diriku. Malah, ada rakan-rakan yang menitiskan airmata ketika bertemu meskipun kita telah terputus hubungan hampir 30 tahun... Betapa terharunya aku... Terima kasih semua, kerana masih mengingatiku.

Buat jiran-jiran tetanggaku, terima kasih kerana selalu mengingatkan aku tentang keadaan kesihatanku. Mereka sentiasa menanyakan khabarku. Kami semua tidak pernah lupa untuk bertegur-sapa setiap kali bertemu. Sekurang-kurangnya kami akan melemparkan senyuman jika tidak sempat berbicara. Kami semua umpama satu keluarga yang besar! Maklumlah taman perumahan kami ini mengandungi hanya 44 buah rumah sahaja...

Untuk Ayahku dan adik-adikku, terima kasih kerana sentiasa berada bersamaku dalam apa jua  situasi. Umpama berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Alhamdulillah, adik-adikku serta ahli keluarga kami selalu juga berkumpul bersama-sama Ayahku serta Mak Wan. Setidak-tidaknya pun, kami mengadakan majlis Tahlil Keluarga terutamanya untuk Allahyarhumah emak kami yang dikasihi serta Allahyarham adikku, Rosman. Aku tidak akan lupa bahawa aku mempunyai kamu semua... 

Buat anak-anakku, Ibu rasa bersyukur kehadrat Illahi kerana mempunyai zuriat yang sentiasa mengingatkan Ibu dan berdoa  untuk kesihatan serta kesejahteraan hidup Ayah dan Ibu. Setiap ujian yang diturunkan ALLAH telah kami sama-sama lalui dengan sabar dan tabah. Pengorbanan dari segi tenaga, masa, wang ringgit serta perhatian yang diberikan untuk Ibu sentiasa mengingatkan Ibu betapa anak-anak semua begitu sayang dan kasih kepada Ibu. Itulah juga yang menjadi pendorong kepadaku untuk menjalani hidup ini dengan lebih yakin dan tabah. Sesungguhnya Ibu juga sangat-sangat menyayangimu, wahai anak-anakku...

Buat suamiku, rasa penghargaan yang tidak terhingga buatmu kerana telah sama-sama mengharungi susah senang hidup ini di samping selalu mengingatkan aku dalam banyak perkara. Kau sentiasa bersamaku dalam setiap ujian yang diturunkan ALLAH dan tidak putus-putus berusaha serta berdoa untuk kesejahteraan hidup kita. Pengorbanan serta perhatian yang diberikan kepadaku, meskipun ia merupakan tanggungjawabmu kepadaku, isterimu, telah kau laksanakan dengan baik. Alhamdulillah...

Setinggi penghargaan dan terima kasih kulafazkan buat suami, anak-anakku, Ayahku, adik-adikku, jiran tetanggaku, rakan serta kenalanku. Tolong ingatkan aku seandainya aku lupa...