Sunday, August 16, 2009

Collection Of Entries From My SMSJ 78 Blog ( 5 )

Kenangan Lama Mengusik Jiwa


Salam buat rakan2 semua. Agak lama juga saya tidak berkesempatan untuk menyumbang apa-apa entri untuk blog kita ini. Sibuk sikit...
Pertama, saya sepatutnya menghadiri Kursus Orientasi Guru Cemerlang di Pulau Pangkor sepanjang minggu ini anjuran Jemaah Nazir KPM. Namun, terpaksa saya tolak disebabkan keadaan saya yang tidak mengizinkan saya melakukan aktiviti2 fizikal yang agak lasak. Oleh itu, saya perlu berurusan dengan pihak sekolah, Jemaah Nazir JPN dan Jemaah Nazir KPM serta menguruskan surat tunjuk sebab.

Kedua, anak yang sedang menghadapi peperiksaan pra-percubaan SPM yang memerlukan kita sebagai ibubapa memanjatkan doa dan solat hajat untuk ketenangan dan kejayaannya sepanjang 2 minggu dia berjuang. Termasuklah mendoakan kesihatannya agar tidak terganggu.

Ketiga, kerenah pembantu rumah yang terpaksa pulang ke kampungnya di Tanjung Balai, Indonesia untuk urusan keluarga dan peribadinya selama sekurang2nya 1 minggu. Selalunya lebih...

Keempat, berkaitan dengan perkara ketiga di atas. Urusan rumahtangga yang terpaksa diuruskan sendiri. Mujurlah suami dan anak2 turut sama membantu.

Namun demikian, di sebalik kesibukan urusan2 yang tersebut tadi, tiba2 muncul 2 nama yang sangat2 tidak diduga di dalam komen blog persendirian saya. Dua orang guru yang telah sama2 berkongsi pengalaman hidup di MPKT, Terengganu selama 3 tahun dari 1981 hingga 1983. Seorang bergelar Datin..... mantan guru yang tinggal di Shah Alam dan seorang lagi masih setia mencurahkan bakti di sebuah sekolah di Kelantan. Saya pun mula mencari2 album gambar yang mengandungi foto2 ketika menjalani hidup sebagai bakal guru dan semasa latihan mengajar di Terengganu. Kenangan lama terus berlegar2 dalam ingatan saya...

Betapa saya yang pada awal pengajian berasa rindu pada keluarga kerana terpaksa berada beratus kilometer dari kampung halaman untuk menimba ilmu. Naik bas ekspres jam 9.00 malam dan sampainya jam 6.00 pagi esoknya. Lepas tu sama ada menaiki teksi ( mahal sikit ) terus ke asrama atau menaiki bot ke Seberang Takir diikuti oleh teksi ke asrama. ( lebih jimat ). Maklumlah elaun bulanan pun bukannya banyak mana.

Betapa saya terpaksa belajar memahami dialek negeri2 di pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam kehidupan seharian di sana. Saya dan rakan2 merupakan kumpulan yang pertama memulakan pengajian di MPKT pada ketika itu. Azman A.Rahim (5M2) adalah rakan sepengajian saya juga. Selama 3 tahun berturut-turut pengajian kami, saya tidak dapat pulang bercuti Hari Raya Haji ke kampung halaman di Batu Pahat. Tahun pertama terpaksa beraya di Marang, Terengganu, tahun kedua di Kota Bahru dan tahun ketiga di Tanah Merah, Kelantan.

Betapa kami terpaksa menyewa sebuah banglo kayu 2 tingkat berhampiran Pantai Batu Buruk bersama-sama seramai 10 orang rakan semasa praktikal selama 3 bulan. Rumah sewa kami di belakang rumah rasmi MB pada ketika itu. Sekolah tempat praktikalnya pula di belakang Stadium Negeri.

Betapa masa konvokesyen, 2 orang rakan kami yang sedang sarat mengandungkan anak mereka yang pertama diberikan tepukan gemuruh oleh rakan2 ketika menerima skrol dari Menteri Pelajaran pada ketika itu. Siapa lagi, kalau bukan mantan PM ke 5 kita, Tun Abdullah bin Ahmad Badawi.

Demikianlah pengalaman yang dapat saya kongsi bersama2 rakan semua selepas meninggalkan SMSJ dan berada di dalam kelompok rakan2 yang bakal bergelar PENDIDIK / GURU pada ketika itu. Kini, walaupun saya masih berhasrat untuk menyumbangkan ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajar, terutamanya matapelajaran Bahasa Inggeris yang diberikan tumpuan; namun saya terpaksa mengundurkan diri. Saya masih ingat lagi kata-kata hikmat yang terdapat di dewan makan asrama di Kolej Puteri Tengku Ampuan Mariam di Johor Bahru yang tercatat, ' MAKAN SESUDAH LAPAR, BERHENTI SEBELUM KENYANG '. Ada persamaannya ke perumpamaan ini dengan keadaan saya sekarang? Mungkin...

2 comments:

kakteh said...

Assalamualaikum Lila..
seronok kakteh baca cerita Lila tentang MPKT 81-83. You are indeed very clever playing with words... Kakteh tak pandai nak susun ayat-ayat indah macam Lila,tapi kakteh seronok membacanya.. Keep it up! Teruskan menulis,Sis!

norlilasamad said...

Waalaikumsalam Kakteh...
Saja tulis untuk mengisi masa terluang. Terima kasih atas galakan dari Kakteh.